
SEREMBAN | 13 Okt 26– Istana Negeri Sembilan menafikan laporan media yang menyatakan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, menerima jemputan untuk menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja, sambil menegaskan kehadiran ke mesyuarat itu tidak memerlukan jemputan.
Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Azizi Mohamad Ali berkata, penjelasan itu dibuat susulan laporan media yang tersiar pada semalam, berhubung jemputan kepada Tuanku Muhriz.
“Istana Negeri Sembilan ingin menjelaskan bahawa kehadiran ke Mesyuarat Majlis Raja-Raja TIDAK memerlukan jemputan,” menurut kenyataan itu.
Istana turut menjelaskan bahawa Tuanku Muhriz tidak menerima surat atau warkah jemputan daripada Pengerusi Mesyuarat, Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah, untuk menghadiri Mesyuarat Pra-Majlis Raja-Raja (Pre-Council Meeting).
Dalam kenyataan sama, Istana mengesahkan Tuanku Muhriz memutuskan untuk tidak berangkat menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja dan sebaliknya memberikan tumpuan kepada urusan negeri, termasuk Istiadat Menzahirkan Kejadian Undang Luak Jelebu.
“Ke Bawah Duli Tuanku telah memutuskan untuk tidak berangkat menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja dan akan memberikan tumpuan kepada urusan negeri di Negeri Sembilan, iaitu Istiadat Menzahirkan Kejadian Undang Luak Jelebu,” menurut kenyataan tersebut.
Istana Negeri Sembilan turut menegaskan bahawa pihaknya tidak pernah mengeluarkan kenyataan media berhubung perkara itu sebelum ini kepada mana-mana pihak atau media.
“Istana Negeri Sembilan ingin menegaskan bahawa tiada sebarang kenyataan pernah dikeluarkan oleh pihak Istana berhubung perkara ini sebelum ini kepada mana-mana pihak atau media,” menurut kenyataan yang ditandatangani Azizi pada 12 Oktober 2026. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.