
PARLIMEN | 14 Okt 26– Ahli Parlimen Ketereh, Mejar Jeneral (B) Datuk Khlir Mohd Nor mempersoalkan nilai pengiktirafan terhadap veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sekiranya kebajikan dan hak pelarasan pencen mereka terus tidak diberikan perhatian sewajarnya.
Ketika membahaskan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat semalam, Khlir menyuarakan rasa tidak puas hati apabila bantuan kepada pemandu teksi dan bas diberikan perhatian, sedangkan veteran ATM yang disifatkannya sebagai pejuang dan individu berjasa kepada negara turut memerlukan pembelaan.
“Saya tidak berdengki dengan pemandu teksi, pemandu bas. Tak, (tapi) MINDEF gagal bagitahu Perdana Menteri. Kalau tidak mesti dia bagi RM500. Sebab orang ini berjasa. Orang ini pejuang,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan pengiktirafan melalui pingat PJM yang menurutnya diberikan kepada anggota tentera berdasarkan tarikh kemasukan perkhidmatan tertentu.
“Kalau tidak buang saja pingat PJM itu. Saya akan beritahu… lempar saja di MINDEF, buat apa?” katanya.
Khlir kemudian menegaskan pelarasan pencen veteran ATM yang bersara sebelum 1 Januari 2017 perlu dilaksanakan atas asas undang-undang, bukannya bergantung kepada ihsan kerajaan.
“Di sini saya ingin jelaskan dua sebab utama kenapa perlengkapan pencen kepada veteran ATM yang bersara sebelum 1 Januari 2017 wajib disesuaikan kerajaan,” katanya.
Menurut beliau, antara asas yang diketengahkan ialah Perlembagaan Persekutuan dan Akta Angkatan Tentera 1952.
“Tuntutan hak pelarasan pencen ini adalah mengikut undang-undang yang bukan meminta belas kasihan daripada kerajaan,” katanya.
Beliau turut merujuk Perkara 41 dan Perkara 132 Perlembagaan Persekutuan dalam menghuraikan kedudukan serta kepentingan perkhidmatan ATM berbanding perkhidmatan awam lain.
Bagi Khlir, tuntutan pelarasan pencen itu perlu dilihat sebagai isu hak dan tanggungjawab kerajaan terhadap anggota yang pernah berkhidmat untuk negara, bukan sekadar soal bantuan kebajikan. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.