
KUALA LUMPUR 29 Jun 25 – Terdapat parti yang menunjukkan minat dan menyatakan kesediaan membubar parti mereka dan bekerjasama bersama Bersatu dan Perikatan Nasional (PN), kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Presiden Bersatu itu berkata, beliau turut mengadakan pertemuan bersama parti lain dan menawarkan pilihan beberapa bentuk kerjasama dalam usaha memperluas jaringan kerjasama mereka.
“PN setakat ada sekarang 4 ahli sahaja. Adakah akan kemungkinan tambah ahli…dalam masa sekarang sudah ada. Saya tak perlu sebut, mana parti dia kata akan bubar, ini sah dan dibuat dalam majlis tertinggi (mereka), soal itu kita tak umum.
“Mereka dah lihat berfaedah dan kukuh perjuangan kita mereka sanggup bubar dan sertai kita sebagai ahli Bersatu.
“Ada parti lain saya hubungi berjumpa bercakap supaya mereka ada pilihan sama ada sertai kita atas sebab kita fikir sesuai atau bersama kita dalam bentuk pakatan pilihan raya atau bagaimana.
“Maksudnya kita nak perluaskan gagasan kita bukan terhad kepada bilangan sedia ada. Tak kata nak jadi seperti BN dulu, saya tak suka nak buat perbandingan begitu, dasar kita berbeza ideologi tak sama tapi matlamat kita itu,” katanya, ketika sesi podcast Ramai Yang Sindir, baru-baru ini.
Pengerusi PN itu berkata, perancangan itu dijangka akan memakan sedikit masa namun itu adalah perancangan jangka panjang gabungan pembangkang itu.
“Ini perancangan yang akan ambil masa, yang penting rakyat akan terima PN sebagai platform perjuangan yang mereka boleh kongsi dengan kita, termasuk anak muda yang mahu bersama kita untuk menjamin masa depan kita lebih baik,” kata Muhyiddin. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.