
KUALA LUMPUR, 7 JUN 25 – Tindakan Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad meletakkan jawatan menteri atas alasan kalah pemilihan parti menyusahkan anggota pasukan Jemaah Menteri, kata penganalisis.
Dr Mazlan Ali, penganalisis dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata, keputusan mereka yang masing-masing merupakan menteri ekonomi dan menteri sumber asli dan kelestarian alam menunjukkan tidak mempunyai semangat berpasukan.
“Sepatutnya kekalahan dalam pemilihan tak sepatutnya meletak jawatan kerana pelantikan beliau dalam Kabinet, Rafizi dengan Nik Nazmi itu lain dengan soal kedudukan dalam parti. Lain kalau tak bersetuju dengan Kabinet, itu lain. Tiada siapa paksa letak jawatan.
“Tiada semangat berpasukan di situ, menyusahkan. Sepatutnya negara fokus isu nasional,” katanya, kepada politiko.my.
Tambah Mazlan, untuk meletak jawatan dalam Kabinet, seharusnya memerlukan sebab yang kukuh.
“Hal ini sebabnya patut ada sebab kukuh nak letak jawatan. Bagi saya nampak macam boleh menyebabkan rakyat panik dan tak seronok.
“Seperti orang kata ini semua politik. Kalau orang itu pentingkan rakyat bekerjalah untuk rakyat,” katanya.
Perkara itu juga katanya mendapat perhatian Yang diPertuan Agong Sultan Ibrahim Iskandar, yang membuat teguran secara terbuka.
“Tuanku bimbang akan jejas pelaburan, pandangan orang luar boleh nampak satu perkara negatif seperti ketidakstabilan.
“Sepatutnya pihak berkaitan, dua menteri itu jangan timbul benda macam ini. Nampak tuanku sebagai raja bimbang, baginda bagi nasihat. Orang cerdik dia faham apa tuanku cakap,” tambahnya.
Namun begitu, Mazlan berkata, tindakan Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz melompat parti berikutan beliau tidak mempunyai pilihan memandangkan tempoh perjawatan senatornya akan tamat Dis depan.
“Tengku Zafrul dah habis tempoh senator, dua penggal, dia dengan sendirinya tak layak sebagai menteri melainkan dia bertanding satu kawasan Parlimen baru boleh kekal dalam Kabinet.
“Zafrul tiada masalah patut atau tidak sebab dia tidak ada pilihan,” tambah Mazlan.
Beliau bagaimanapun menasihatkan wakil rakyat, untuk fokus kepada isu rakyat dan kurangkan berpolitik kerana rakyat sudah muak dengan agenda politik seperti itu.
“Rakyat dibuat macam tak berapa terima politik politik ini. Rakyat nak fokus kepada kehidupan. Fokus menurunkan harga barang kos hidup ramai org terkesan.
“Terutama M40. B40 dapat bantuan. M40 tak layak dapat bantuan. Sebabnya yang terkesan hidup banyak M40. Hidup cukup-cukup. Atas kertas nampak ok tapi kos hidup secara tak langsung hidup macam B40.”
Baru-baru ini, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli mengumumkan perletakan jawatan sebagai menteri.
Perletakan jawatan Rafizi ini sebaai mengotakan janjinya semasa berkempen dalam pemilihan parti yang mana beliau berkata akan meletakkan jawatan sekiranya tewas dalam mempertahankan jawatan sebagai Timbalan Presiden Keadilan Rakyat. @politiko.my