AGC Bantah Semakan Kehakiman Badan Peguam Dalam Kes NFA Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR | 22 Mei 26 – Jabatan Peguam Negara (AGC) membantah permohonan Badan Peguam Malaysia untuk memulakan semakan kehakiman berhubung keputusan mengklasifikasikan kes rasuah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).

Perkara itu dimaklumkan Peguam Kanan Persekutuan, Nurhafizza Azizan ketika pengurusan kes di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Alice Loke Yee Ching.

Sebelum ini, Badan Peguam memfailkan permohonan semakan kehakiman dengan menamakan Peguam Negara dan Ahmad Zahid sebagai responden bagi mencabar keputusan NFA terhadap 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akalbudi.

Mereka antara lain memohon mahkamah mengisytiharkan keputusan dibuat AGC pada 8 Januari lalu sebagai tidak sah dan melangkaui bidang kuasa Peguam Negara.

Pada Januari lalu, AGC memutuskan tiada tindakan lanjut diambil terhadap Ahmad Zahid selepas meneliti keseluruhan siasatan, representasi dan keterangan baharu yang diperoleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). AGC menegaskan keputusan itu dibuat berdasarkan pertimbangan profesional dan undang-undang, bukannya secara sewenang-wenang.

Dalam prosiding sama, AGC turut memaklumkan pihaknya akan memfailkan permohonan kebenaran merayu di Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan sebelum ini yang membenarkan rayuan Badan Peguam berkaitan tindakan menghentikan prosiding terhadap Ahmad Zahid.

Peguam mewakili Ahmad Zahid pula memohon supaya prosiding semakan kehakiman tersebut digantung sementara menunggu keputusan rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Mahkamah kemudian menetapkan 30 Jun depan bagi memutuskan sama ada permohonan kebenaran semakan kehakiman itu akan diteruskan atau ditangguhkan sementara menunggu pelupusan rayuan berkenaan. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share