“Melayu Bukan Imigran” — Sarjana Tegaskan ‘Merantau’ Jadi Tradisi Ribuan Tahun

MELAKA | 26 Sep 26 — Orang Melayu tidak wajar dilabel sebagai imigran di Alam Melayu, khususnya di Tanah Melayu, kerana sejarah mereka berkait rapat dengan tradisi merantau yang telah berlangsung sejak ribuan tahun.

Pengarah Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (ISTAC-IIUM), Prof Datuk Dr Ahmad Murad Merican berkata, melabel orang Melayu sebagai imigran adalah tidak tepat kerana tidak mengambil kira sejarah, budaya dan hubungan geografi masyarakat di rantau ini.

Menurut beliau, pergerakan masyarakat Melayu antara wilayah di Alam Melayu perlu difahami sebagai sebahagian daripada tradisi merantau, bukannya penghijrahan yang hanya dilihat melalui sempadan politik moden.

“Orang Melayu di Malaysia, Sumatera dan Borneo bukan fenomena imigran tetapi fenomena merantau. Antara kelompok yang turut mempunyai tradisi merantau ialah masyarakat Cham. Kita tidak seharusnya dikongkong oleh sempadan politik, oleh sempadan palsu,” katanya.

Ahmad Murad berkata tradisi merantau turut menghubungkan masyarakat Melayu dari pelbagai wilayah termasuk Luzon, Sumatera dan Sulawesi yang mempunyai perkaitan dari segi sejarah, budaya dan bahasa.

Beliau berkata demikian ketika menjadi ahli panel dalam sesi ‘Unravelling the Polemic of Tanah Melayu’ pada Musyawarah Nasional 3.0 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, Melaka.

Dalam sesi sama, pakar perlembagaan dan undang-undang awam, Profesor Madya Datuk Dr Shamrahayu A. Aziz berkata istilah dan kedudukan Tanah Melayu tidak pernah hilang seperti yang didakwa sesetengah pihak, sebaliknya kekal termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara.

“Perlembagaan ialah undang-undang yang mencipta negara kita, membentuk dan membina negara kita serta menjadi panduan bagaimana kita hidup sebagai sebuah bangsa,” katanya.

Menurut Shamrahayu, istilah Tanah Melayu jelas dirujuk dalam Perlembagaan melalui dua istilah utama, iaitu Negeri-negeri Tanah Melayu dan Semenanjung Tanah Melayu.

Katanya, nama Tanah Melayu tidak sepatutnya dijadikan polemik kerana kedudukannya jelas dalam Perlembagaan Persekutuan.

Beliau turut berkata pemahaman terhadap keseluruhan peruntukan yang termaktub dalam Perlembagaan penting bagi meningkatkan kefahaman mengenai asas pembentukan negara serta membantu mempertahankan kedudukan negara. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share