Ahli Bersekutu Persoal Imuniti Dalam BERSATU, Desak Tindakan Adil Terhadap Pemimpin Sendiri

KUALA LUMPUR, 16 Okt 25 – Sayap Bersekutu BERSATU Bahagian Bangi mempersoalkan integriti dan ketelusan Lembaga Disiplin parti itu selepas mendakwa tiada tindakan diambil terhadap dua pemimpin utama Bersekutu, walaupun laporan salah laku telah dikemukakan sejak September lalu.

Ketua Bersekutu BERSATU Bahagian Bangi, Vasantha Kumar Krishnan, dalam satu kenyataan hari ini melahirkan rasa terkilan apabila mengetahui bahawa pemimpin kanan sayap Bersekutu BERSATU Malaysia, dilaporkan telah memberi sumbangan tunai bernilai RM100,000 kepada Bendahari Parti dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), yang turut dihadiri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Katanya, tindakan itu kini menimbulkan tanda tanya dalam kalangan ahli akar umbi, sama ada sumbangan berkenaan telah memberi kelebihan atau “imuniti khas” kepada pemimpin kanan sayap Bersekutu daripada dikenakan tindakan disiplin.

“Ramai ahli mula menyoal kredibiliti Lembaga Disiplin Parti. Adakah beliau mendapat imuniti istimewa kerana memberi sumbangan tunai RM100,000? Adakah sumbangan tunai ini dimasukkan ke dalam akaun rasmi dan diaudit?” katanya.

Menurut Vasantha Kumar, tindakan pemimpin kanan sayap Bersekutu yang dikatakan memulaukan Mesyuarat Agung Bersekutu BERSATU pada 6 September 2025, telahpun diajukan kepada Lembaga Disiplin, namun tiada sebarang keputusan diumumkan hingga kini.

Sebaliknya, katanya, Lembaga Disiplin baru-baru ini menggantung dan memecat enam pimpinan parti lain, termasuk dua Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi dan empat Ketua Bahagian, atas salah laku dalam Persidangan Agung Tahunan pada 7 September 2025.

“Jika sumbangan RM100,000 tunai cukup untuk menutup segala kesalahan dan memberi imuniti dalam parti, maka adakah pimpinan lain yang digantung juga boleh menggunakan kaedah sama untuk kembali kepada parti?” soal beliau.

Vasantha Kumar menegaskan, kepercayaan dan integriti BERSATU kini menjadi persoalan bukan sahaja dalam kalangan ahli sendiri, malah turut diperhatikan oleh pihak lawan politik yang melihat parti itu seolah-olah mengamalkan layanan berbeza berdasarkan kedudukan dan kemampuan kewangan.

“Inilah masa paling sesuai untuk membuktikan bahawa Parti BERSATU mengamalkan keadilan dan tindakan disiplin yang sama terhadap semua, tanpa mengira darjat atau harta,” ujarnya lagi.

Beliau menutup kenyataan dengan menyeru pucuk pimpinan parti, khususnya Lembaga Disiplin, supaya segera bertindak terhadap dua pemimpin terbabit bagi mengembalikan keyakinan ahli terhadap prinsip bersih, adil dan berintegriti yang menjadi asas perjuangan parti. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share