Akar Melayu, Identiti Kepelbagaian Malaysia

Malaysia semakin kerap digambarkan sebagai sebuah negara berbilang kaum, termasuk dalam naratif politik Kerajaan MADANI. Gambaran itu benar dari sudut komposisi penduduk, tetapi tidak memadai untuk menerangkan asal-usul, identiti dan susunan perlembagaan negara.

Istilah “berbilang kaum” menjelaskan siapa yang menghuni Malaysia, tetapi tidak menjelaskan daripada sejarah dan peradaban apakah negara ini terbentuk. Malaysia mempunyai masyarakat majmuk, namun kemajmukan itu tidak bermaksud negara ini lahir tanpa akar sejarah.

Perbahasan sering menjadi tegang apabila istilah “Tanah Melayu” disebut. Ada yang menganggapnya sekadar nama lama sebelum pembentukan Malaysia, manakala sebahagian yang lain melihat penggunaannya sebagai cubaan menafikan kedudukan masyarakat bukan Melayu.

Kedua-dua tanggapan ini tidak menggambarkan keseluruhan sejarah. Tanah Melayu bukan sekadar nama geografi atau slogan perkauman, tetapi merakamkan asal-usul politik, kebudayaan dan peradaban yang membentuk salah satu asas negara.

Akar tersebut bermula daripada Tanah Melayu, sebuah wilayah yang telah mempunyai kerajaan, pemerintah, undang-undang, bahasa, adat dan hubungan diplomatiknya sendiri jauh sebelum kedatangan British. Kuasa kolonial tidak mencipta negeri-negeri Melayu atau institusi Raja-Rajanya, sebaliknya memasuki wilayah yang telah memiliki susunan politik dan kedaulatan tersendiri.

Istilah Melayu pula telah wujud jauh sebelum kemerdekaan dan kelahiran negara moden. Ia bukan sekadar merujuk kepada keturunan, tetapi turut berkembang sebagai bahasa perhubungan, lingkungan kebudayaan, sistem pemerintahan dan sebuah peradaban yang merentasi Semenanjung, Sumatera, Kepulauan Riau, Borneo dan wilayah lain di Alam Melayu.

Bahasa Melayu menjadi antara unsur utama yang menghubungkan peradaban tersebut dan sejak awal digunakan oleh masyarakat daripada pelbagai latar belakang.

Penyebaran Islam kemudiannya memberikan bentuk yang lebih jelas kepada identiti Melayu, termasuk dalam pemerintahan, undang-undang, bahasa, tulisan, adat, kesusasteraan dan pandangan hidup. Hubungan antara Melayu, Islam, bahasa dan adat berkembang selama berabad-abad sebelum sebahagian daripada cirinya diterjemahkan dalam Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan.

Namun, takrif “orang Melayu” dari sudut perlembagaan perlu dibezakan daripada pengertian peradaban Melayu yang lebih luas.

Institusi Raja-Raja pula merupakan kesinambungan kedaulatan negeri-negeri Melayu yang mendahului penjajahan dan pembentukan negara moden. Apabila kemerdekaan dicapai pada 1957, institusi tersebut tidak dihapuskan, sebaliknya disatukan dengan sistem demokrasi berparlimen melalui Raja Berperlembagaan. Nama Persekutuan Tanah Melayu sendiri mencerminkan kesinambungan sejarah dan institusi tersebut.

Pembentukan Malaysia pada 1963 memperluas kerangka kenegaraan itu dengan penyertaan Sabah, Sarawak dan Singapura, sebelum Singapura berpisah pada 1965. Sabah dan Sarawak mempunyai sejarah, masyarakat asal, identiti serta perlindungan perlembagaan tersendiri.

Justeru, Malaysia hari ini tidak boleh disamakan sepenuhnya dengan Tanah Melayu, tetapi juga tidak boleh dipisahkan daripada akar sejarah Persekutuan Tanah Melayu yang menjadi salah satu asas pembentukannya.

Dalam kerangka inilah istilah “masyarakat berbilang kaum” perlu difahami. Malaysia sememangnya dihuni oleh rakyat daripada pelbagai keturunan, agama, bahasa dan kebudayaan. Orang Asli mempunyai sejarah dan kedudukan tersendiri yang wajib dihormati.

Manakala masyarakat Cina, India, Sikh, Serani dan komuniti lain turut memberikan sumbangan besar kepada perkembangan negara. Kewarganegaraan mereka bukan suatu ihsan sementara, tetapi kedudukan sah yang dijamin oleh Perlembagaan.

Namun, kepelbagaian penduduk tidak secara automatik menjadikan Malaysia sebuah negara tanpa identiti teras. Perlembagaan mengatur kepelbagaian itu dalam suatu kerangka kenegaraan yang mempunyai asas sejarahnya sendiri.

Perkara 3 meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan sambil membenarkan agama-agama lain diamalkan dengan aman. Perkara 152 menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, manakala Perkara 153 memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak bersama kepentingan sah kaum-kaum lain.

Oleh itu, mengakui akar Melayu bagi Tanah Melayu tidak bererti hanya orang Melayu berhak menentukan masa depan Malaysia, atau menjadikan warganegara bukan Melayu sebagai orang luar. Sebaliknya, pengiktirafan terhadap akar tersebut menuntut tanggungjawab yang lebih besar daripada kepimpinan Melayu.

Jika Melayu merupakan teras sejarah dan politik negara, kekuatan Melayu mesti diterjemahkan melalui keadilan, ilmu, integriti, kemajuan dan perlindungan terhadap seluruh rakyat. Kemelayuan akan kehilangan kewibawaannya jika digunakan untuk melindungi penyalahgunaan kuasa, kelemahan tadbir urus atau merendahkan komuniti lain.

Asimilasi kenegaraan berteraskan Melayu juga tidak bermaksud masyarakat bukan Melayu perlu meninggalkan keturunan, agama, bahasa atau budaya mereka. Ia bukan tuntutan supaya seseorang menjadi Melayu menurut Perkara 160 atau memeluk Islam.

Sebaliknya, ia menyatukan identiti awam rakyat sebagai bangsa Malaysia melalui penerimaan terhadap bahasa Melayu, sejarah Tanah Melayu, institusi Raja-Raja, kedudukan Islam serta nilai kesantunan, permuafakatan dan tanggungjawab yang berkembang dalam peradaban Melayu.

Persoalan sebenar bukan sama ada Malaysia sebuah negara Melayu atau negara berbilang kaum. Pertentangan seperti itu terlalu sempit. Malaysia ialah sebuah negara Persekutuan yang berakar pada sejarah dan peradaban Tanah Melayu, kemudian berkembang dalam kerangka kenegaraan yang lebih luas bersama Sabah dan Sarawak. Negara ini dihuni oleh masyarakat majmuk yang berkongsi kewarganegaraan dan masa depan.

Mengiktiraf asal-usul Tanah Melayu tidak menjadikan bukan Melayu sebagai orang luar, sebagaimana menjamin hak seluruh warganegara tidak menghakis kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak yang termaktub dalam Perlembagaan.

Masyarakatnya boleh berbilang keturunan dan kebudayaan, tetapi negara mesti mempunyai satu identiti kebangsaan yang dikongsi bersama. Negara yang memahami akarnya tidak perlu takut kepada kepelbagaian, dan masyarakat yang menikmati keadilan tidak perlu berasa terancam oleh sejarah.

Dr Armin Baniaz Pahamin, Setiausaha Agung Sekretariat Tanahair

Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili pandangan politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts

Kesatuan Pemikiran Dalam Pelan Pendidikan

wujudnya dua pasukan penggubalan yang berbeza (satu di KPT dan satu di KPM). Khabarnya, akan ditubuhkan Majlis Pendidikan Negara, yang dipengerusikan Perdana Menteri, untuk mengintegrasi kerja kedua-dua pasukan itu. Persoalannya, akan berlakukah wahdatul fikr (kesatuan pemikiran) yang sebenar?  
Read More
Total
0
Share