Wan Saiful Ucap Tahniah: Institut Muhyiddin Sahkan Muhyiddin Popular, Puji Anwar

KUALA LUMPUR | 7 Jan 26 — Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan secara sinis mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, susulan dapatan kajian Institut Masa Depan Malaysia (MASA) yang menunjukkan peningkatan tahap kepuasan rakyat terhadap kepimpinan Anwar dan Kerajaan Madani.

Menurut Wan Saiful, pujian itu menjadi lebih signifikan apabila kajian berkenaan dijalankan oleh sebuah institut yang dipengerusikan oleh Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri.

“Mengikut maklumat di laman web Institut MASA, pengerusinya ialah Muhyiddin Yassin dan pemegang amanahnya pula terdiri daripada individu-individu di sekeliling beliau,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, apabila sebuah institut yang dipengerusikan oleh tokoh utama pembangkang “bersusah payah” menjalankan kajian berskala nasional dan akhirnya mengabsahkan ketokohan Anwar Ibrahim, maka Perdana Menteri itu wajar berbangga dengan pengiktirafan tersebut.

Dalam nada menyindir, Wan Saiful turut mengucapkan tahniah kepada Muhyiddin apabila kajian institut yang dipengerusikannya itu mendapati beliau kekal sebagai calon Perdana Menteri paling popular selepas Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

“Institut yang dipengerusikan oleh Muhyiddin bertungkus-lumus membuat kajian dan hasilnya mendapati Muhyiddin adalah yang terpaling hebat. Itu memang hebat,” katanya.

Wan Saiful berkata, dapatan kajian berkenaan secara tidak langsung telah “mengabsahkan” dua naratif serentak — ketokohan Anwar sebagai Perdana Menteri semasa dan populariti Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri pilihan.

Sehubungan itu, beliau melontarkan persoalan berbentuk sindiran politik sama ada pengesahan dua nama besar tersebut mampu membuka lembaran baharu dalam landskap politik negara.

“Dengan absahnya ketokohan dan populariti Anwar dan Muhyiddin, mungkinkah ada lembaran baharu untuk dua mereka ini bekerjasama, sekali gus membuka pintu awal untuk BERSATU keluar daripada Perikatan Nasional (PN)?” katanya.

Kenyataan tersebut dilihat sebagai sindiran tajam terhadap usaha berterusan pihak tertentu menggunakan kajian persepsi awam bagi mengangkat kepimpinan sendiri, namun pada masa sama secara tidak langsung mengukuhkan legitimasi lawan politik. 

 Dari semakan, Institut Masa Depan Malaysia atau ringkasnya Institut MASA merupakan sebuah badan pemikir yang diasaskan oleh Perdana Menteri Malaysia ke-8, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Ia diasaskan ketika Muhyiddin masih menjawat jawatan sebagai Menteri Dalam Negeri Malaysia pada tahun 2019 lalu. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share