AMH Gesa Menteri BN Pilih Haluan, Dakwa Formula BN-PN Gugat Kerajaan Perpaduan

KUALA LUMPUR | 19 Julai 26 – Angkatan Muda Harapan (AMH) menggesa semua menteri dan timbalan menteri daripada Barisan Nasional (BN) meletakkan jawatan daripada Kabinet selepas mendakwa kerjasama terbuka BN dengan Perikatan Nasional (PN) di Johor dan Negeri Sembilan bercanggah dengan semangat Kerajaan Perpaduan.

Dalam kenyataan bersama hari ini, AMH mendakwa tindakan BN berunding dan bekerjasama dengan PN membuktikan gabungan itu tidak lagi menghargai mandat serta kepercayaan yang diberikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kepada pemimpin-pemimpinnya dalam pentadbiran kerajaan.

“AMH percaya bahawa peletakan jawatan Menteri dan Timbalan Menteri oleh BN merupakan langkah yang wajar diambil untuk mengurangkan kekeliruan rakyat terhadap modus operandi BN, agar BN boleh menghentikan sikap “talam dua muka” dan memastikan bahawa “formula baharu BN-PN” yang diidam-idamkan boleh direalisasikan sepenuhnya. Kata kenyataan tersebut.

Desakan itu dibuat susulan kenyataan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang menyifatkan kerjasama BN-PN di peringkat negeri sebagai formula politik yang berpotensi diperluaskan ke peringkat nasional menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Menurut AMH, kenyataan tersebut menunjukkan kerjasama BN-PN bukan lagi bersifat sementara atau taktikal, sebaliknya menjadi petunjuk kepada pembentukan jajaran politik baharu.

“Pengakuan Pengerusi BN menunjukkan bahawa kerjasama BN-PN tersebut bukan lagi bersifat sementara atau taktikal, sebaliknya merupakan persediaan ke arah pembentukan jajaran politik baharu yang menimbulkan persoalan serius terhadap komitmen BN dalam Kerajaan Perpaduan. Ujarnya.

AMH turut mendakwa BN semakin menjauh daripada semangat Kerajaan Perpaduan walaupun masih memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri serta beberapa portfolio kanan dalam Kabinet.

Sebagai perbandingan, AMH berkata PH tetap memberi ruang kepada BN menyertai pentadbiran negeri Pulau Pinang dan Selangor selepas PRN 2023 menerusi pelantikan wakil BN sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO), sebagai menghormati semangat kerjasama antara kedua-dua gabungan.

Justeru, AMH berpandangan semua menteri dan timbalan menteri BN perlu melepaskan jawatan sekiranya parti itu mahu meneruskan kerjasama politik dengan PN.

Menurut mereka, langkah itu akan menamatkan kekeliruan terhadap pendirian sebenar BN, selain mengelakkan risiko ketidakstabilan politik yang boleh menjejaskan pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

Kenyataan bersama itu ditandatangani Ketua Penerangan Angkatan Muda Harapan merangkap Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Ammar Atan; Setiausaha Publisiti DAPSY Kebangsaan, Ho Chi Yang; Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan, Danish Hairudin; serta Pengarah Biro Komunikasi WARDA, Syazana Nasir. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share