
KUALA LUMPUR | 28 Mac 26 — Dasar kerajaan yang menggalakkan pekerja bekerja dari rumah (BDR) sebagai langkah menangani kenaikan kos bahan api kini dipersoal oleh aktivis politik, yang menyifatkannya sebagai tidak relevan kepada golongan paling terkesan.
Shafiq Halim, aktivis politik, berkata program BDR lebih sesuai untuk pekerja pejabat, sementara majoriti rakyat, termasuk peniaga, petani, nelayan dan pesawah, tetap terdedah kepada kos bahan api kerana bergantung kepada jentera dan peralatan yang menggunakan diesel.
“Boleh ke petani atau nelayan bekerja dari rumah? Dasar ini langsung tidak menyentuh golongan yang paling terjejas,” katanya dalam satu hantaran video.
Menurut Shafiq, majoriti rakyat Malaysia sudah pun meminimumkan penggunaan bahan api melalui pengangkutan awam, berkongsi kenderaan atau menaiki motosikal, namun langkah itu tidak menyelesaikan tekanan sebenar yang dialami sektor lapangan.
Beliau juga mencadangkan kerajaan menstruktur semula bantuan tunai dan program Rahmah supaya lebih bersasar, khususnya dengan bekerjasama bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan institusi Zakat. Langkah ini, katanya, berpotensi menjimatkan sehingga RM10 bilion bagi menampung subsidi diesel kepada golongan yang benar-benar memerlukan.
Shafiq menegaskan kerajaan perlu mengkaji semula dasar semasa dan menumpukan perhatian kepada bantuan bersasar bagi memastikan tekanan kos sara hidup dapat ditangani secara efektif, bukannya hanya memberi isyarat kepada golongan yang kurang terkesan.
“Kerajaan harus dengar suara rakyat dan golongan terjejas, bukannya hanya memberi arahan yang tidak praktikal. Subsidi bersasar adalah jalan penyelesaian yang lebih masuk akal,” katanya.
Langkah BDR yang diumumkan Perdana Menteri sebagai respons terhadap kenaikan kos bahan api kini menimbulkan kritikan bahawa dasar tersebut terlalu fokus kepada pekerja pejabat dan tidak mempertimbangkan realiti sektor ekonomi yang bergantung kepada penggunaan jentera berat.
Dengan isu kos hidup semakin mendesak, pengkritik menekankan bahawa kerajaan perlu menilai semula pendekatan sedia ada bagi memastikan bantuan yang diberikan benar-benar sampai kepada yang memerlukan.
Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika menyampaikan Perutusan Khas berhubung langkah strategik negara dalam memperkukuh kesiapsiagaan mendepani krisis tenaga global susulan konflik di Asia Barat memaklumkan sedang mempertimbangkan langkah tambahan termasuk menetapkan peraturan kerja yang lebih anjal seperti pelaksanaan BDR secara berperingkat bagi penjawat awam.
Selain sektor awam, beliau turut menyarankan sektor swasta supaya melaksanakan kaedah sama seperti yang telah diamalkan oleh beberapa syarikat dan institusi perbankan. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.