
KUALA LUMPUR | 10 Ogos 26 – Kenyataan Tan Sri Annuar Musa mengenai tujuh perkara yang didakwanya sebagai antara “kerja-kerja penjajah” dilihat secara tidak langsung, selari dengan naratif Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengenai ancaman terhadap kedudukan Melayu dan Islam di negara ini.
Menerusi kenyataan di Facebook, Annuar yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, menyenaraikan fahaman sekularisme, dasar pecah dan perintah, pengurangan kuasa Raja-Raja Melayu serta usaha memisahkan Islam daripada dasar pemerintahan sebagai antara perkara yang dikaitkannya dengan legasi penjajahan.
Beliau turut menyebut orang Melayu dibiarkan terpinggir, bahasa Melayu tidak diutamakan dan dasar kapitalis menguasai negara.
“Selepas negara sudah merdeka, masih ada pihak-pihak yang kuat memperjuangkan dasar-dasar ini,” katanya.
Kenyataan itu dibuat ketika polemik mengenai dakwaan Abdul Hadi bahawa DAP meneruskan “kerja penjajah” untuk menghapuskan Melayu dan Islam menjadi perdebatan politik semasa.
Dalam laporan Sinar Harian semalam, Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Pusat (DUPP), Datuk Mohd Nor Hamzah mempertahankan dakwaan Abdul Hadi dengan menyifatkannya bersandarkan akidah dan sejarah, bukannya sentimen perkauman.
Mohd Nor berkata, percaturan politik Malaysia tidak boleh dipisahkan daripada sejarah panjang Tanah Melayu dan mendakwa gagasan ‘Malaysian Malaysia’ merupakan penjelmaan semula strategi perpecahan yang ditinggalkan penjajah Inggeris.
Beliau turut mengaitkan perkara itu dengan dakwaan sekularisme serta usaha yang menurutnya boleh melemahkan kedudukan agama dan kepimpinan Melayu-Islam.
Abdul Hadi sebelum ini menerusi ruangan Minda Presiden Pas bertajuk ‘DAP Memimpin PH Menyambung Kerja Penjajah Hapuskan Melayu Islam’ mendakwa DAP yang mendominasi Pakatan Harapan (PH) sedang meneruskan agenda penjajah bagi melemahkan kedudukan Melayu dan Islam melalui politik, pendidikan, ekonomi dan pentadbiran.
Dalam konteks itu, kenyataan terbaharu Annuar mempunyai persamaan pada tema utama, khususnya mengenai sekularisme, dasar pecah dan perintah, kedudukan Melayu-Islam serta dakwaan bahawa sebahagian dasar peninggalan penjajahan masih diperjuangkan selepas kemerdekaan.
Bagaimanapun, Annuar dalam kenyataan tersebut tidak menamakan DAP atau mana-mana parti politik sebagai pihak yang didakwa meneruskan dasar berkenaan.
Beliau hanya menyatakan terdapat “pihak-pihak” yang masih kuat memperjuangkan dasar-dasar tersebut sebelum mengakhiri kenyataannya dengan ungkapan, “Tak perlu sentap.” @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.