Penganalisis: Bersatu Perlu Pamer Alternatif, Bukan Hanya Angkat Muhyiddin

KUALA LUMPUR, 12 Sep 25 – Penganalisis politik Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Ahmad Fauzi Abdul Hamid, menegaskan bahawa Bersatu perlu tampil sebagai alternatif serius menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) dan tidak sekadar menonjolkan seorang individu sebagai calon perdana menteri.

Menurut beliau, tindakan mengangkat usul berulang kali untuk menamakan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai pemimpin utama parti dan negara menggambarkan keresahan dalaman Bersatu sendiri.

“Ia memperlihatkan satu ‘sense of insecurity’. Semakin lama kita kekal dengan posisi itu, makin kuat pula perasaan itu, sama seperti paranoia yang dirasai banyak diktator, yang akhirnya jatuh juga,” katanya.

Prof Ahmad Fauzi menekankan bahawa Bersatu sebenarnya telah mempunyai kerangka lebih besar melalui Agenda Konsensus Nasional yang dibentangkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin, pada Mei lalu di ISEAS Yusof Ishak Institute, Singapura.

Katanya, walaupun agenda itu mempunyai beberapa kelemahan, ia boleh diperkuat melalui wacana terbuka di seluruh negara dengan memanfaatkan jentera parti seperti Institut Masa Depan Malaysia (MASA), hingga menjadi sebuah “jenama politik” yang mampu menyaingi konsep-konsep besar terdahulu seperti Malaysia Madani dan Islam Hadhari.

“Agenda itu perlu diperkasakan agar mampu merentasi batas kaum dan agama, hingga Bersatu dapat berevolusi daripada imej Melayu-sentrik kepada Malaysia-sentrik,” jelasnya.

Prof Ahmad Fauzi percaya langkah ini penting untuk membina keyakinan rakyat terhadap Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) sebagai “government in waiting” menjelang PRU16.

Berdasarkan rekod,  dalam tiga Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) terdahulu telah mengangkat usul  mendesak Muhyiddin kekal sebagai Presiden (PAT 2023). Manakala PAT 2024 mengangkat jawatannya sebagai Presiden Pengasas, dan pada PAT 2025 menamakan beliau sebagai calon Perdana Menteri. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share