
KUALA LUMPUR, 3 Nov 25 — Bekas Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa menegaskan bahawa PAS tidak tergesa-gesa menamakan calon Perdana Menteri kerana tumpuan utama parti itu ketika ini ialah mengukuhkan perpaduan politik Melayu dan umat Islam.
Mengulas pandangan Tun Dr. Mahathir Mohamad tentang mengapa PAS tidak mengumumkan calon Perdana Menteri, Annuar berkata parti itu menghormati pandangan Tun M namun memilih untuk memberi keutamaan kepada penyatuan dan kekuatan politik, bukannya perebutan jawatan.
“Tiada guna kita berpolimik calon PM jika kita tiada kekuatan. Apa lagi jika isu itu menambah kegawatan dan perpecahan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Beliau menjelaskan, Perlembagaan Persekutuan sudah menetapkan bahawa Perdana Menteri adalah seorang ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti daripada ahli Dewan, seperti yang diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong.
“Bila tiba masanya, jika ada seseorang dari PAS yang menepati syarat tersebut serta dengan izin Allah SWT, maka dialah bakal menjadi Perdana Menteri,” katanya.
Annuar menegaskan, PAS sentiasa terbuka dan sederhana dalam soal jawatan serta tidak melihat kedudukan sebagai matlamat utama perjuangan.
“Jawatan itu satu amanah yang berat. Tak usahlah berebut sehingga kita sanggup bercerai-berai,” ujarnya yang juga Pengarah Pilihan Raya PAS Sabah.
Beliau turut menambah, sekarang bukan masa untuk membincangkan siapa bakal menjadi Perdana Menteri, sebaliknya masa untuk memperkukuh muafakat dan perpaduan dalam kalangan parti-parti Melayu Islam.
Baru-baru ini, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa PAS memilih untuk tidak menamakan calon perdana menteri mewakili parti itu kerana sedar statusnya yang belum mempunyai sokongan mencukupi untuk membentuk kerajaan secara bersendirian.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, PAS sedar mereka tidak mampu untuk memenangi kerusi yang cukup untuk menguasai Putrajaya tanpa sokongan lebih meluas, terutama di luar kawasan tradisi mereka di Pantai Timur. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.