PM Ambil Kira Cadangan Hamzah, Sedia Dana Kepada Pemain Industri Terjejas

KUALA LUMPUR, 5 MEI 25 – Kerajaan dilihat menerima saranan Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainuddin bulan lepas yang mencadangkan penubuhan satu dana bantuan khas berbentuk geran padanan ataupun pinjaman kewangan kepada pemain industri tertentu susulan tarif dikenakan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan kerajaan bersetuju meningkatkan Jaminan Kerajaan  sebanyak RM1 bilion di bawah Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) khusus untuk membantu pengeksport PKS yang terjejas mendapatkan pinjaman daripada bank komersial.

“Kerajaan turut bersetuju menambah dana pembiayaan mudah sebanyak RM500 juta melalui Institusi Pembangunan Kewangan (DFI) untuk manfaat usahawan PKS yang terjejas,” kata Anwar ketika sidang khas Dewan Rakyat, di Parlimen hari ini.

Anwar antara lain berkata, kerajaan juga terus memantau perkembangan semasa dan bersedia menyediakan bantuan bersasar kepada PKS yang secara langsung terjejas.

Dalam satu kenyataan pada April lalu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin menggesa kerajaan mempertimbangkan pelaksanaan penangguhan cukai serta penubuhan dana bantuan khas dalam bentuk geran padanan atau pinjaman kewangan kepada industri terjejas.

Langkah itu menurut beliau perlu bagi memastikan syarikat tidak gulung tikar atau mengurangkan tenaga kerja susulan tekanan ekonomi akibat tarif timbal balik 24 peratus yang dikenakan oleh Amerika Syarikat terhadap Malaysia.

Beliau turut mencadangkan insentif eksport baharu dan perlindungan kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS). @politiko.my

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share