PN Gesa PM Beri Komitmen Tak Campur Tangan Pelantikan Hakim

KUALA LUMPUR, 17 Jun 25 – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim disaran tidak campur tangan pelantikan hakim susulan persaraan sembilan hakim Mahkamah Persekutuan, kata Perikatan Nasional (PN).

Ketua Whip Ahli Parlimen Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, ia termasuk persaraan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dalam masa terdekat.

“Pertama, PN mendesak agar Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) diberi kebebasan penuh untuk menjalankan fungsinya dalam pelantikan hakim tanpa sebarang tekanan politik.

“Pelantikan hakim termasuk Ketua Hakim Negara, mestilah berdasarkan merit, integriti dan pengalaman, bukan hubungan politik,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Ahli Parlimen Kota Bharu itu, berkata sebarang usaha untuk mencampuri urusan pelantikan hakim akan mencetuskan krisis kepercayaan rakyat dan mengulangi sejarah hitam sistem perundangan negara.

“PN menekankan bahawa campur tangan eksekutif dalam hal kehakiman jelas bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan,” tegas setiausaha agung PAS itu lagi.

PN katanya mencadangkan penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen dwipartisan yang akan memantau pelantikan kehakiman secara profesional dan seimbang tanpa mengganggu prinsip pengasingan kuasa.

Selain itu katanya, kerajaan digesa mengkaji semula pindaan terhadap Perkara 121, Perlembagaan Persekutuan yang dibuat pada 1988.

Beliau berkata, ia perlu dilaksanakan bagi mengembalikan kuasa asal badan kehakiman sebagai cabang yang setara dengan badan legislatif dan eksekutif.

Takiyuddin turut merujuk kenyataan tegas Tengku Maimun yang mengimbau kembali Krisis Kehakiman 1988 – satu peringatan bahawa bayangan campur tangan politik sudah cukup untuk merosakkan keyakinan rakyat terhadap mahkamah.

“Gelombang persaraan ini bukan sekadar perubahan biasa kerana ia adalah ujian terbesar terhadap integriti institusi kehakiman negara. Kita mesti belajar dari sejarah dan mengelak daripada mengulangi kesilapan lampau,” tegas beliau.

Tegasnya kebebasan badan kehakima adalah asas kepada demokrasi yang sihat dan bukan pilihan

“Tanpa institusi kehakiman yang bebas dan adil, negara akan terdedah kepada krisis perlembagaan dan ketidakstabilan undang-undang.

“PN akan terus memainkan peranan semak dan imbang bagi mempertahankan maruah institusi kehakiman negara daripada bayangan politik atau era pengkhianatan perlembagaan yang tidak wajar berulang,” tegasnya. @politiko.my

.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share