
KUALA LUMPUR | 15 Apr 26 Petronas memberi jaminan bahawa bekalan bahan api di seluruh rangkaian stesen minyaknya akan kekal mencukupi sehingga penghujung Jun ini, meskipun berdepan ketidaktentuan global.
Syarikat minyak nasional itu memaklumkan pihaknya sedang mengurus rantaian bekalan secara aktif bagi memastikan stok bahan api sentiasa mencukupi di seluruh negara.
“Petronas mengesahkan bekalan bahan api merentasi rangkaian stesennya di seluruh negara dijamin sehingga akhir Jun, satu pelanjutan daripada unjuran awal iaitu pada akhir Mei,” katanya menerusi satu kenyataan.
Langkah tersebut diambil susulan kebimbangan terhadap gangguan bekalan tenaga global, khususnya akibat konflik geopolitik semasa yang memberi tekanan kepada pasaran minyak antarabangsa.
Dalam masa sama, Petronas menegaskan komitmennya untuk memastikan bekalan bahan api kekal stabil bagi memenuhi keperluan pengguna domestik, termasuk sektor pengangkutan dan industri.
Jaminan itu juga dilihat sebagai kesinambungan unjuran sebelum ini bahawa bekalan minyak negara berada pada tahap stabil sekurang-kurangnya sehingga pertengahan tahun, walaupun harga dijangka berdepan turun naik.
Perkembangan ini memberi sedikit kelegaan kepada pengguna di Malaysia, khususnya dalam suasana ketidaktentuan pasaran tenaga dunia ketika ini, dengan jaminan bahawa bekalan bahan api tidak akan terjejas dalam tempoh terdekat. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.