
KUALA LUMPUR, 10 Jul 25 – Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan membenarkan sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat kemelut pelantikan kehakiman dan campur tangan dalam keputusan mahkamah yang melibatkan perdana menteri itu sendiri, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, keputusan untuk melaksanakan RCI tertakluk kepada Jemaah Menteri yang dipengerusikan Anwar, walaupun blok pembangkang dan sembilan ahli Parlimen PKR turut membuat desakan sama.
“Saya tidak yakin perdana menteri akan membenarkan sebuah RCI ditubuhkan bagi menyiasat dirinya sendiri. Penubuhan RCI memerlukan keputusan kabinet yang dipengerusikan oleh beliau sendiri.
“Malaysia sedang menyaksikan institusi-institusi utama negara dirosakkan oleh perdana menteri demi kepentingan peribadinya,” kata Muhyiddin, dalam kenyataan di Facebook.
Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam satu kenyataan sebelum ini juga telah mengeluarkan kenyataan menolak kemungkinan penubuhan sebuah RCI dan turut menolak peranan Jawatankuasa Pilihan Parlimen (PSC) sebagai badan yang wajar terlibat dalam proses pelantikan hakim-hakim.
Presiden Bersatu itu turut melahirkan kebimbangan tindakan ahli Parlimen PKR berkenaan akan mengakibatkan mereka dijadikan sasaran seterusnya oleh kerajaan.
“Desakan Ahli-Ahli Parlimen penyokong kerajaan supaya langkah-langkah diambil untuk menjamin kebebasan badan kehakiman sudah pasti tidak akan didengar oleh perdana menteri.
“Sebaliknya saya khuatir lambat laun mereka akan menjadi mangsa tekanan perdana menteri dan Kerajaan Madani yang mereka sendiri sokong.
Ahli Parlimen Pagoh itu juga mendakwa, tindakan mengganggu institusi kehakiman adalah petanda kerajaan terdesak berikutan tidak lagi mendapat sokongan rakyat.
“Apabila perdana menteri tidak lagi mendapat sokongan rakyat, satu-satunya cara untuk berkuasa ialah dengan mencengkam institusi negara dan menyekat kebebasan rakyat.
“Antara institusi yang dicengkam ialah badan kehakiman,” tambah Muhyiddin. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.