Tambah Anggota,Unit Halal Jaim Perlu Kuasa Lebih Besar – Ketua Pembangkang Melaka

KUALA LUMPUR, 27 Mei 25 – Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) perlu diberi kuasa lebih besar membolehkan mereka mengeluarkan kompaun dan membawa pengusaha ingkar ke mahkamah.

Ketua Pembangkang DUN Melaka Dr Mohd Yadzil Yaakub berkata, ketika ini Jaim hanya diperuntukkan kuasa untuk menggantung atau menarik sijil halal premis.

“Bidang kuasa Jaim di bahagian pengurusan halal ini perlu dikaji. Mereka perlu diberi kuasa lebih besar untuk mengeluarkan kompaun dan tindakan mahkamah jika ada pengusaha yang melanggar syarat persijilan halal.

“Bukan hanya sekadar menggantung atau menarik sijil halal suatu produk atau premis,” katanya, dalam kenyataan di Facebook.

Beliau berkata demikian mengulas laporan penarikan sijil halal terhadap dua hotel lima bintang di Melaka yang melanggar syarat persijilan halal.

Katanya, Melaka boleh menggunakan contoh pelaksanaan di negeri lain seperti Selangor yang memberikan kuasa kepada unit halal Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mengeluarkan kompaun dan mendakwa pengusaha yang melanggar syarat persijilan halal ke mahkamah.

Adun Bemban itu turut menggesa unit halal Jaim menambah kakitangan mereka yang kini dianggarkan berjumlah tidak lebih 20 orang.

“Untuk mereka diagihkan kepada beberapa unit bagi mengawal dan memantau hampir 400 produk, premis, dan hotel adalah sangat membebankan.

“Kakitangan dalam unit ini perlu ditambah keanggotaannya untuk memastikan setiap pemantauan berkaitan dengan persijilan halal dibuat secara berkesan.

“Jika tidak, persijilan halal ini hanya dilihat seperti logo tanpa erti yang akhirnya tidak mencapai hasrat sebenar persijilan halal,” katanya.

Katanya, walaupun permohonan sijil halal telah dipermudahkan dan tidak wajib ia banyak memberi keuntungan kepada pengusaha.

“Tapi jangan biarkan tolak ansur kita dalam perakuan persijilan halal ini diremehkan oleh pihak yang tidak faham nilai sijil tersebut terutama kepentingan kepada orang Islam,” tegasnya. @politiko.my

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share