Malaysia Pantau Rapi Situasi Caracas, Tolak Campur Tangan Asing – Wisma Putra

PUTRAJAYA, 4 Jan 26 — Kementerian Luar Negeri melalui Wisma Putra memaklumkan Malaysia sedang memantau secara teliti perkembangan terkini di Caracas, Venezuela, susulan laporan mengenai operasi keselamatan yang dijalankan di ibu negara tersebut awal hari ini.

Menurut kenyataan rasmi Wisma Putra, Malaysia secara prinsip menolak sebarang bentuk campur tangan asing dalam urusan dalaman sesebuah negara serta sebarang ancaman atau penggunaan kekerasan, selaras dengan asas yang termaktub dalam Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan undang-undang antarabangsa.

“Malaysia sentiasa menegaskan keperluan penyelesaian secara aman melalui dialog, penghormatan terhadap kedaulatan negara serta pematuhan kepada norma-norma antarabangsa,” menurut kenyataan itu.

Dalam situasi yang tegang ini, semua pihak yang terlibat digesa agar mengamalkan sikap menahan diri sepenuhnya dan mencari penyelesaian secara aman melalui dialog dan diplomasi.

Wisma Putra turut menegaskan keutamaan kerajaan ketika ini adalah keselamatan dan kebajikan warganegara Malaysia di luar negara. Kedutaan Besar Malaysia di Caracas dilaporkan telah berjaya menghubungi semua warganegara Malaysia yang berdaftar di Venezuela dan mengesahkan bahawa mereka berada dalam keadaan selamat serta telah dikenal pasti.

“Kedutaan sedang memantau rapi keadaan di lapangan dan bersiap sedia untuk memberikan bantuan konsular yang diperlukan sekiranya situasi memerlukan,” kata kenyataan itu.

Warganegara Malaysia di Venezuela yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Caracas melalui talian telefon (+58-212) 720 4257 atau emel mwcaracas@kln.gov.my

Kementerian Luar Negeri memaklumkan pihaknya akan terus memantau perkembangan secara aktif dan akan mengeluarkan maklumat lanjut sekiranya perlu. Rakyat Malaysia di Venezuela turut dinasihatkan agar kekal berwaspada, mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan dan sentiasa berhubung rapat dengan pihak Kedutaan. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share