AUKU Baru Hendak Dimansuh Tahun Ke-4, Wan Saiful Persoal ‘Timing’ Kerajaan

PARLIMEN | 5 Okt 26 – Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan hari ini mempersoalkan tindakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang hanya membawa agenda pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) pada tahun keempat pentadbirannya.

Menurut Wan Saiful, pemansuhan AUKU bukan isu baharu kerana beliau bersama ramai aktivis telah lama menuntut supaya akta tersebut dimansuhkan.

Malah, katanya, apa yang diumumkan kerajaan setakat ini hanyalah penyataan niat untuk memulakan proses pemansuhan, bukannya pengumuman langkah-langkah tuntas bagi memansuhkan AUKU.

“Adakah pemansuhan AUKU diangkat sekarang kerana pilihanraya sudah dekat? Kita tidak mahu janji-janji kosong PH lagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Saiful berkata, beliau sebenarnya sudah bersedia mengemukakan soalan tambahan mengenai status pemansuhan AUKU di Parlimen hari ini, namun sesi soal jawab tamat sebelum soalan berkenaan sempat dikemukakan.

Katanya, soalan Ahli Parlimen Sibu mengenai status pemansuhan AUKU berada di nombor 10, manakala soalan beliau sendiri berada di nombor 13.

Dalam pada itu, Wan Saiful menyambut baik pengumuman Menteri Pendidikan Tinggi pada 20 Ogos lalu mengenai penubuhan jawatankuasa bebas bagi meneliti penyediaan akta baharu yang bakal menggantikan AUKU.

“Untuk memastikan pengganti AUKU nanti benar-benar memenuhi aspirasi rakyat, saya menyeru kerajaan supaya kerajaan mengumumkan siapa ahli-ahli jawatankuasa bebas dan memastikan mereka datang dari pelbagai latarbelakang dan rentas parti. Ujarnya.

Wan Saiful turut meminta kerajaan memberi jaminan bahawa laporan jawatankuasa tersebut akan disiarkan kepada umum.

Selain itu, beliau mencadangkan penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi meneliti dan menambah baik draf Rang Undang-Undang yang bakal menggantikan AUKU.

Dalam kenyataan yang sama, beliau turut menegaskan bahawa kebebasan akademik, kebebasan mahasiswa dan autonomi universiti mesti menjadi tonggak dalam akta baharu berkenaan.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 15 Ogos lalu mengumumkan kerajaan akan memansuhkan AUKU bagi memberi ruang demokrasi yang lebih luas kepada mahasiswa, manakala pada 20 Ogos beliau berkata kerajaan komited memansuhkan akta itu dan Rang Undang-Undang baharu bagi menggantikannya dijangka dibentangkan di Parlimen tahun ini. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share