Nik Muhammad Zawawi Mohon Maaf, Tuan Ibrahim Sifatkan Sikap Terpuji

KUALA LUMPUR | 13 Mei 26 — Ahli Parlimen Pasie Puteh, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh tampil memohon maaf susulan kenyataannya yang mengundang reaksi pelbagai pihak berhubung penggunaan istilah dikaitkan dengan para sahabat Rasulullah SAW.

Dalam kenyataan terbaharu, beliau menegaskan bahawa dirinya sama sekali tidak berniat menghina para sahabat, sebaliknya mengakui berlaku kesilapan dalam penggunaan perkataan yang disifatkannya sebagai “agak besar”.

“Saya sendiri sama sekali tidak berniat menghina para sahabat. Cuma kesilapan di sebelah saya bila saya menggunakan satu perkataan yang agak besar,” katanya.

Beliau turut mengumumkan menarik balik penggunaan istilah berkenaan serta memohon maaf kepada mana-mana pihak yang tersinggung dengan kenyataannya itu.

“Saya tarik balik perkataan ini, penggunaan ini. Saya tarik balik dan saya mohon maaf kepada sesiapa yang terasa hati,” katanya lagi.

Nik Muhammad Zawawi pada masa sama merakamkan penghargaan kepada para ilmuwan, sahabat serta individu yang memberikan teguran dan pandangan secara membina menerusi media sosial dan aplikasi WhatsApp.

Dalam penjelasannya, beliau turut menyebut bahawa perkara yang berlaku pada zaman jahiliah sememangnya tidak mempunyai riwayat yang kukuh, dan sekiranya ada sekalipun, ia bersifat daif.

Sementara itu, Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan penjelasan serta permohonan maaf dibuat Nik Muhammad Zawawi sebagai satu sikap terpuji yang wajar dicontohi.

“Maka, dengan penjelasan dan permohonan maaf tersebut, diharapkan perkara ini menjadi pengajaran serta panduan kepada masyarakat untuk mendalami ilmu pengetahuan, meneliti panduan para ulama terdahulu dalam memahami sesuatu peristiwa, serta membezakan antara kitab-kitab sirah, hadis dan athar para sahabat,” katanya dalam kenyataan di facebook beliau.

Menurut beliau, masyarakat juga perlu memahami bahawa kesilapan para sahabat pada zaman Jahiliah telah diampuni Allah SWT sebelum mereka menjadi sahabat Rasulullah SAW yang turut berjuang bersama Baginda.

“Penjelasan dan permohonan maaf atas sesuatu kekhilafan ialah sikap terpuji yang wajar dihayati,” katanya.

Beliau turut menyeru agar umat Islam terus memperkasakan pembinaan ummah dan mengukuhkan perjuangan dalam mendepani cabaran semasa. 

Terdahulu, satu kontroversi tercetus selepas ucapan Nik Zawawi dalam satu ceramah tular di media sosial apabila beliau menyentuh kisah kehidupan Saidina Umar al-Khattab dan Saidina Abu Bakar al-Siddiq sebelum memeluk Islam. Beberapa pihak mendakwa terdapat fakta sejarah yang tidak disandarkan kepada riwayat yang sahih. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share