“Autonomi Tanpa Kapasiti Adalah Beban” — Kata MP Machang

PARLIMEN | 26 Feb 26 — Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, menyokong langkah kerajaan memindahkan kuasa pengurusan buangan terjadual kepada Sabah dan Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), namun memberi amaran bahawa autonomi tanpa kapasiti pelaksanaan boleh menjadi beban kepada negeri berkenaan.

Berucap di Dewan Rakyat, beliau menegaskan bahawa pemindahan kuasa melalui Perkara 95C Perlembagaan Persekutuan itu mesti disertai kemampuan penguatkuasaan, sistem pemantauan telus dan keselarasan dasar iklim.

“Autonomi tanpa kapasiti adalah beban dan desentralisasi tanpa ekologi adalah bahaya,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2026.

Menurut beliau, isu yang perlu dibincangkan bukan sekadar siapa yang berkuasa mengurus buangan terjadual, tetapi bagaimana pengurusan itu dilaksanakan bagi memastikan kelestarian alam sekitar Sabah dan Sarawak yang disifatkannya sebagai antara ekosistem paling penting kepada iklim global.

Wan Fayhsal menekankan bahawa Rang Undang-Undang (RUU) tersebut tidak boleh dilihat sebagai pindaan teknikal semata-mata, sebaliknya sebagai peluang membaiki ketidakseimbangan ekologi akibat aktiviti industri yang tidak terkawal.

Beliau merujuk konsep “retak metabolik” bagi menggambarkan kesan eksploitasi sumber seperti petroleum, pembalakan dan perladangan terhadap tanah, sungai dan udara di Borneo.

“Buangan terjadual adalah manifestasi fizikal ketidakseimbangan ini. Jika tidak diurus dengan betul, ia akan terus meracuni ekosistem,” katanya.

Beliau turut mengiktiraf sembilan syarat yang ditetapkan kerajaan sebelum kuasa itu diserahkan, termasuk pindaan enakmen alam sekitar, sistem pemantauan atas talian dan pematuhan obligasi antarabangsa.

Namun, beliau mempersoalkan mekanisme pengesahan bebas bagi memastikan syarat tersebut bukan sekadar dipenuhi di atas kertas.

“Tanpa data yang telus dan boleh diakses awam, kita tidak dapat mengukur sama ada kerosakan alam sekitar sedang dipulihkan atau semakin melebar,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa pengurusan buangan terjadual di Sabah dan Sarawak mesti selari dengan komitmen Malaysia di bawah Perjanjian Paris.

Dalam pada itu, beliau menyatakan sokongan terhadap prinsip RUU berkenaan, khususnya dalam memenuhi tuntutan MA63 dan memperkukuh autonomi Sabah serta Sarawak.

Bagaimanapun, sokongan itu disifatkan sebagai bersyarat, dengan gesaan supaya kerajaan memastikan pemindahan kuasa disertai kapasiti sebenar, pemantauan telus dan keserasian dasar iklim nasional.

“Pindaan ini bukan sekadar soal kuasa. Ia adalah komitmen moral terhadap ekologi Borneo dan generasi akan datang,” katanya. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share