
KUALA LUMPUR, 30 DIS 25 — PAS Pusat mengumumkan pendirian rasmi berhubung situasi semasa Kerajaan Negeri Perlis dan Perikatan Nasional (PN), hari ini, dengan menegaskan bahawa parti itu tidak akan menyertai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Perlis yang baharu.
Menurut kenyataan media rasmi Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, keputusan itu dibuat sebagai tanda solidariti serta menghormati peletakan jawatan Menteri Besar Perlis terdahulu, dan semua anggota EXCO sedia ada daripada PAS akan melepaskan jawatan masing-masing.
“PAS komited untuk meneruskan kelangsungan dan keberadaan PAS dalam Kerajaan Negeri Perlis selaras dengan mandat rakyat pada PRU-15, namun pada masa sama tidak akan menganggotai EXCO yang dibentuk oleh Menteri Besar baharu,” katanya.
Selain itu, PAS menyeru semua pihak agar bermuhasabah dan mengambil pengajaran daripada situasi semasa, sambil menawarkan kesediaan untuk menerajui PN bagi memperkukuh organisasi gabungan serta membuat persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
PAS turut menekankan komitmen untuk menghormati undang-undang, prinsip demokrasi, konsep Raja Berperlembagaan serta kebijaksanaan DYMM Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, demi kemaslahatan negeri dan rakyat.
Kenyataan rasmi itu ditandatangani oleh Takiyuddin Hassan dan bertarikh 30 Disember 2025 / 09 Rejab 1447H.
Perkembangan ini dijangka memberi impak kepada struktur kepimpinan PN di Perlis dan memperjelas peranan PAS dalam gabungan menjelang pilihan raya akan datang. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.