Gagasan Konsensus Nasional Mampu Lonjak Kepimpinan Hamzah – Prof Madya Dr Mazlan

KUALA LUMPUR | 14 Mac 26 — Gagasan Konsensus Nasional yang dibawa Ketua Pembangkang, Hamzah Zainuddin dilihat sebagai idea politik berskala besar yang berpotensi melonjakkan beliau sebagai pemimpin utama negara pada masa depan.

Penganalisis politik dari Universiti Teknologi Malaysia, Porf Madya Dr Mazlan Ali berkata, Hamzah sebenarnya telah lama membawa suatu wawasan politik yang luas, termasuk ketika beliau masih berada dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia.

Menurutnya, gagasan yang dikenali sebagai Konsensus Nasional itu bukan sekadar idea politik biasa, sebaliknya satu konsep menyeluruh yang merangkumi sistem tadbir urus serta pendekatan pemerintahan negara.

“Ketika beliau dalam BERSATU lagi, Hamzah sudah membawa satu idea dan wawasan yang besar. Jika beliau berpeluang melaksanakan visinya itu, ia boleh membina keadaan politik yang lebih baik,” katanya.

Mazlan turut berpandangan bahawa Hamzah mempunyai pendekatan yang lebih ke hadapan berbanding beberapa kepimpinan lain dalam parti itu sebelum ini.

Katanya, konsep Konsensus Nasional yang dibawa Hamzah mengambil kira keseimbangan dalam masyarakat majmuk negara, termasuk dari sudut kepelbagaian kaum, gender dan wilayah.

Menurut beliau, pendekatan tersebut menunjukkan bahawa idea yang dibawa Hamzah melangkaui pemikiran politik konvensional yang sering diamalkan kebanyakan ahli politik.

“Ini sebenarnya idea bertaraf nasional yang cuba melihat keseimbangan antara rakyat dan negara dalam konteks yang lebih luas,” katanya.

Dalam masa sama, Mazlan berpendapat perancangan Hamzah untuk membawa wadah politik baharu berpotensi mendapat sambutan sekiranya gagasan tersebut berjaya diterjemahkan dalam bentuk gerakan politik yang jelas.

“Jika idea ini dapat dibawa dengan baik, ia boleh menarik sokongan rakyat dan membuka ruang kepada Hamzah untuk muncul sebagai pemimpin besar yang diterima masyarakat,” katanya.

Pada 14 Februari lalu, Hamzah Zainudin telah membuat seruan supaya melakukan reset untuk membina Malaysia yang lebih baik.

Dalam seruan tersebut, ramai berpendapat ia akan mengukuhkan lagi agenda Konsensus Nasional Baharu yang diperkenalkan oleh Hamzah, tahun lalu. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share