Bahasa Melayu Berkembang di China, 17 Universiti Tawar Program Pengajian

Foto – Sinar Harian

KUALA LUMPUR | 11 Mei 26 — Bahasa Melayu kini semakin mendapat perhatian di China apabila sekurang-kurangnya 17 institusi pengajian tinggi di negara itu menawarkan program berkaitan bahasa tersebut, termasuk kursus peringkat ijazah.

Perkembangan itu dilihat selari dengan hubungan Malaysia-China yang semakin erat dalam bidang ekonomi, pendidikan dan kebudayaan.

Tokoh bahasa dan sastera negara, Awang Sariyan berkata daripada jumlah itu, 13 universiti di China menawarkan program ijazah empat tahun dalam pengajian Bahasa Melayu yang meliputi pelbagai aspek termasuk bahasa, kesusasteraan, budaya, sejarah dan sosioekonomi dunia Melayu.

Menurut beliau, pendekatan tersebut menunjukkan bahawa pengajian Bahasa Melayu di China tidak lagi tertumpu kepada linguistik semata-mata, tetapi turut merangkumi pemahaman terhadap masyarakat dan tamadun Melayu secara lebih menyeluruh.

“Ini sangat menggalakkan kerana pengajian Bahasa Melayu di China bukan sekadar linguistik, tetapi merangkumi pelbagai aspek peradaban seperti sastera, budaya, sejarah, media dan sosioekonomi,” katanya memetik laporan malaymail.

Awang yang juga penasihat kehormat Pusat Pengajian Melayu di Beijing Foreign Studies University berkata selain program ijazah, dua institusi turut menawarkan program diploma tiga tahun dalam pengajian Bahasa Melayu, manakala beberapa universiti lain menyediakan kursus Bahasa Melayu bagi tujuan hubungan antarabangsa.

Beliau berkata perkembangan itu kini mula meluas ke peringkat sekolah apabila beberapa kolej latihan guru dan sekolah menengah di selatan China turut menawarkan Bahasa Melayu sebagai subjek elektif.

Menurut Awang, pertumbuhan tersebut berlaku dengan sangat pantas dalam tempoh kurang sedekad.

“Ketika saya mula ke China dahulu, hanya tiga universiti menawarkan program Bahasa Melayu. Kini jumlah itu meningkat dengan begitu cepat,” katanya.

Beliau berpandangan peningkatan minat terhadap Bahasa Melayu didorong hubungan erat Malaysia-China selain peranan institusi pendidikan dan jaringan akademik yang aktif mempromosikan pengajian Melayu di negara itu. @sumber

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share