Bekalan Elektrik Sabah Masih Jauh Ketinggalan, Ronald Persoal Komitmen Kerajaan

KUALA LUMPUR | 10 Jun 26 – Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Ronald Kiandee mempersoalkan komitmen Kerajaan Persekutuan untuk memastikan agihan bekalan tenaga dibuat secara adil kepada semua negeri, khususnya Sabah yang masih berdepan gangguan bekalan elektrik jauh lebih tinggi berbanding Semenanjung.

Ketika membahaskan Dasar Strategik Pelan Tenaga Boleh Baharu di Dewan Rakyat, beliau berkata rakyat Sabah masih menikmati kualiti bekalan elektrik yang jauh ketinggalan walaupun pelbagai dasar tenaga baharu diumumkan kerajaan.

Menurut Ronald, indeks System Average Interruption Duration Index (SAIDI) di Sabah masih mencatat antara 200 hingga 300 minit gangguan setahun, berbanding hanya 40 hingga 60 minit di negeri-negeri Semenanjung, manakala Kuala Lumpur merekodkan kurang daripada 30 minit setahun.

Beliau menyifatkan jurang itu sebagai kegagalan Kerajaan Persekutuan mengagihkan kemudahan asas tenaga secara saksama kepada rakyat Malaysia.

“Jika ini dilihat sebagai satu kegagalan, maka ia adalah kegagalan Kerajaan Persekutuan untuk mengagihkan sumber tenaga dan bekalan elektrik kepada rakyat Sabah,” katanya.

Sehubungan itu, Ronald meminta jaminan daripada kerajaan bahawa pelaksanaan dasar tenaga baharu, termasuk tenaga nuklear, solar dan sumber tenaga boleh diperbaharui lain, tidak hanya memberi manfaat kepada negeri tertentu, sebaliknya memastikan rakyat di seluruh negara menikmati bekalan elektrik yang lebih stabil dan adil.

Beliau menegaskan, rakyat Sabah tidak seharusnya terus menjadi mangsa ketidakseimbangan pembangunan infrastruktur tenaga sedangkan bekalan elektrik merupakan keperluan asas yang wajar dinikmati secara sama rata oleh semua rakyat Malaysia. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share