
KUALA LUMPUR, 23 Jun 25 — Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) menyatakan hasrat untuk turut serta dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang dijangka diadakan dalam masa terdekat.
Menurut Presidennya, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai, parti kini sedang meneliti dan berbincang secara aktif mengenai penyertaan tersebut, dengan matlamat untuk membawa nilai tambah dan menjadi alternatif kepada rakyat Sabah dalam landskap politik negeri itu.
“Parti berpendirian Sabah merupakan negeri yang penting dalam landskap politik nasional, dan sebarang keputusan akan dibuat secara kolektif demi memastikan kehadiran Gerakan di Sabah mampu membawa nilai tambah serta menawarkan pilihan alternatif kepada rakyat negeri tersebut,” katanya, dalam sidang media.
Dalam sidang media sama, Gerakan turut mengecam tindakan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan, yang mengeluarkan arahan melarang penjawat awam daripada mengkritik dasar kerajaan secara terbuka.
Dominic menyifatkan arahan itu sebagai satu bentuk sekatan terhadap kebebasan bersuara yang mampu mewujudkan budaya takut dalam kalangan penjawat awam.
“Arahan itu akhirnya akan melemahkan budaya semak dan imbang dalam pentadbiran,” tegas Dominic.
Gerakan turut mendesak kerajaan memberikan penjelasan segera berhubung perluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) serta subsidi bersasar yang dijadual bermula 1 Julai ini. @politiko.my