Beri Taklimat Khas Tangkapan Pegawai ATM Kepada Pembangkang

KUALA LUMPUR, 18 Ogos 25 — Taklimat khas kepada wakil rakyat pembangkang wajar dilakukan susulan tangkapan beberapa pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam Op Sohor baru-baru ini bagi membolehkan penjelasan lanjut diberikan.

Ahli Parlimen Tanah Merah Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata, butiran terperinci dan penjelasan lanjut wajar diberikan memandangkan ia melibatkan keselamatan tanah air.

“Pegawai-pegawai ATM yang ditahan ini adalah dari Kor Risik ataupun lebih tepat lagi anggota Pertubuhan Perisikan Pertahanan Malaysia (MDIO) iaitu salah satu cabang penting ATM dan salah seorang suspek juga mempunyai pertalian darah dengan bekas Panglima Tentera Darat sebelum ini,” katanya.

Ketua Portfolio Pertahanan  Perikatan Nasional itu berkata, dengan penjelasan lanjut, ia dapat memberikan pemahaman terperinci mengenai ketirisan yang berlaku melibatkan pegawai ATM dengan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen berkenaan Keselamatan dan Pertahanan memanggil Kementerian Pertahanan (Mindef) khususnya Ketua Pengarah Pertubuhan Perisikan Pertahanan Malaysia (MDIO).

Menurutnya, pegawai kanan yang bertanggung jawab secara langsung di dalam usaha kawalan dan pengendalian maklumat risikan samada secara fizikal ataupun siber.

“Timbul persoalan apakah kompromi lain juga berlaku bukan hanya mengenai maklumat rondaan unit-unit tentera di kawasan selatan tanah air, tetapi juga maklumat penting lain berkaitan isu-isu yang lebih runcing dan lebih penting seperti Laut China Selatan dan aspek kesiap siagaan tentera.

“Apatah lagi mereka yang ditahan ini disyaki telah bersekongkol dengan sindiket penyeludupan sejak lima tahun yang lalu,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada 13 Ogos lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya melumpuhkan sindiket penyeludupan didalangi pegawai-pegawai kanan ATM yang beroperasi di selatan tanah air dan dipercayai mengumpul hasil rasuah lebih RM3 juta, pada 13 Ogos lalu. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share