
KUALA LUMPUR | 14 Julai 26 — Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor menunjukkan BERSATU kini berdepan “gerhana” politik apabila parti itu semakin kehilangan sokongan, malah Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, turut berisiko tewas di kerusi Parlimen Pagoh pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Penganalisis politik Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Madya Dr. Mazlan Ali berkata, prestasi BERSATU dalam PRN Johor membuktikan parti itu semakin lemah selepas gagal mempertahankan pengaruhnya di negeri berkenaan.
Menurut beliau, keadaan itu berlaku selepas PAS mengarahkan penyokongnya memberikan sokongan kepada calon Barisan Nasional (BN), sekali gus menyebabkan undi tradisi PAS tidak lagi memihak kepada calon-calon BERSATU.
“Di Johor, Bersatu hilang deposit di 16 kerusi yang ditandinginya. Ini menggambarkan parti itu kini berada dalam keadaan yang sangat lemah dan berdepan gerhana politik,” katanya.
Mazlan berkata, situasi itu turut memberi kesan kepada kedudukan Muhyiddin di Pagoh apabila dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen tersebut, iaitu Bukit Kepong dan Bukit Pasir, gagal dipertahankan BERSATU.
Katanya, keputusan itu menjadi petunjuk bahawa kubu politik Muhyiddin tidak lagi kebal seperti sebelum ini, sekali gus meletakkan beliau dalam keadaan berisiko sekiranya bertanding pada PRU16.
Mengulas masa depan Bersatu, Mazlan berpendapat parti itu tidak mempunyai banyak pilihan selain mencari rakan politik baharu bagi memastikan kelangsungan perjuangannya.
Beliau berkata, BERSATU sukar untuk bergerak secara bersendirian dan perlu mempertimbangkan kerjasama dengan gabungan lain sekiranya mahu kembali menjadi pencabar utama dalam pilihan raya akan datang.
Pada masa sama, beliau melihat PAS kini lebih cenderung memperkukuh hubungan dengan UMNO, selain mengekalkan kerjasama dengan Parti Wawasan Negara yang berpotensi mengambil alih peranan BERSATU sebagai rakan strategik parti itu.
Menurut Mazlan, perkembangan tersebut mungkin menjadi petunjuk kepada pembentukan formula politik baharu menjelang beberapa pilihan raya negeri akan datang, termasuk kemungkinan diuji pada PRN Negeri Sembilan. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.