BERSATU Cadang Lucut Keahlian Automatik Jika Ahli Terima Jawatan PN Tanpa Restu Parti – Sumber

KUALA LUMPUR | 3 Jan 26 — Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dilaporkan sedang mempertimbangkan satu ketetapan dalaman yang keras, iaitu melucutkan keahlian secara automatik terhadap mana-mana ahli parti yang menerima jawatan dalam Perikatan Nasional (PN) tanpa kelulusan atau bercanggah dengan pendirian rasmi parti, menurut sumber dalaman.

Sumber memaklumkan, cadangan itu dijangka dibincangkan dan diputuskan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU yang akan diadakan sebelum Mesyuarat PN, dan ia dilihat sebagai langkah untuk mengawal peralihan kuasa serta memperketat disiplin dan kesetiaan kepada presiden parti.

Menurut sumber yang tidak dinamakan, ketetapan tersebut akan terpakai kepada semua jawatan dalam PN tanpa pengecualian, termasuk jawatan tertinggi gabungan, sekali gus mencerminkan pendirian tegas kepimpinan BERSATU dalam mempertahankan kedaulatan dan autonomi parti.

“Ini isyarat jelas bahawa BERSATU tidak lagi bersedia berkompromi dalam soal disiplin dan kesetiaan, walaupun melibatkan struktur kepimpinan PN,” kata sumber berkenaan.

Cadangan berkenaan juga dikaitkan dengan ketegangan dalaman yang semakin ketara antara BERSATU dan PN, apabila parti itu dilaporkan menilai semula kedudukan serta peranannya dalam gabungan berkenaan.

Susulan ketetapan itu, BERSATU turut dikatakan sedang mempertimbangkan langkah berundur sementara daripada PN sebagai tekanan politik bagi mendesak penstrukturan semula kepimpinan gabungan tersebut.

Sumber memaklumkan, sebarang keputusan untuk kembali menyertai PN akan bergantung kepada rombakan kepimpinan, termasuk pelantikan semula Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi PN dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Setiausaha Agung PN. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share