
KUALA LUMPUR | 11 Okt 26 – Pertumbuhan ekonomi negara perlu diterjemahkan kepada peningkatan upah, kuasa beli dan taraf hidup rakyat, bukan sekadar angka pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Naib Pengerusi Sekretariat Gerakan Suara Rakyat Malaysia Sejahtera (SUARA RAKYAT), Dato Seri Dr Amir Hussien berkata keberkesanan Belanjawan 2027 perlu diukur berdasarkan kesannya terhadap pendapatan sebenar dan produktiviti pekerja.
“Keberkesanan Belanjawan 2027 perlu dinilai berdasarkan kesannya terhadap pendapatan boleh guna sebenar, produktiviti buruh dan daya tahan ekonomi negara,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau menyambut baik peningkatan peruntukan STR dan SARA kepada RM16 bilion serta kenaikan pelepasan cukai individu kepada RM12,000, namun berkata pertumbuhan KDNK antara 4.2 hingga 5.2 peratus bagi 2027 perlu meningkatkan kemampuan keluarga membina simpanan.
“Pada pandangan saya, kerajaan perlu memberikan perhatian lebih kepada bagaimana pertumbuhan tersebut meningkatkan upah sebenar, mobiliti pendapatan dan kemampuan keluarga membina simpanan,” katanya.
Mengulas gaji minimum RM2,000 mulai Jun 2027, beliau meminta kerajaan menjelaskan laluan pelarasan upah bagi pekerja PMKS yang dikecualikan. Beliau turut mencadangkan tuntutan pembekal kerajaan yang lengkap dan disahkan dibayar dalam tempoh 30 hari bagi membantu aliran tunai perniagaan.
Mengenai perbelanjaan negara, Amir Hussien berkata unjuran defisit fiskal 3.3 peratus bagi 2027 memerlukan disiplin perbelanjaan dan pemantauan berterusan.
“Penilaian hasil perlu meliputi upah sebenar, produktiviti, penempatan pekerjaan dan mutu perkhidmatan awam,” katanya.
Beliau mencadangkan laporan prestasi belanjawan diterbitkan setiap suku tahun bagi menilai kemajuan perbelanjaan, pencapaian program dan tindakan pembetulan.
“Kerajaan perlu memastikan pelaksanaan Belanjawan 2027 memperkukuh asas ekonomi dan menghasilkan peningkatan taraf hidup yang berkekalan untuk seluruh rakyat Malaysia,” katanya. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.