
KOTA BHARU | 11 Sep 26 – Kedudukan Bersatu di Kelantan kini ibarat “telur di hujung tanduk”, kata Pengerusi Negeri Kelantan Majlis Perhubungan Parti Wawasan Negara (Wawasan), YB Dato’ Farid Zawawi.
Beliau berkata, Bersatu di Kelantan sedang bergelut dengan kelemahan jentera, kehilangan ahli, keruntuhan moral dan semangat akar umbi serta defisit pengaruh kepimpinan di peringkat bahagian.
“Pandangan saya jelas, kedudukan Bersatu di Kelantan pada ketika ini ibarat ‘telur di hujung tanduk’,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di media sosial.
Farid yang juga Timbalan Speaker DUN Kelantan berkata, beliau tidak pernah meninggalkan parti itu seperti yang didakwa Datuk Kamarudin dalam satu hantaran TikTok.
Sebaliknya, beliau menegaskan bahawa dirinya telah dipecat daripada Bersatu pada 11 Mei 2026.
“Justeru, adalah tidak tepat untuk mengatakan bahawa saya meninggalkan parti. Saya tidak meninggalkan parti. Saya telah dipecat.
“Itu adalah fakta yang perlu diketahui oleh semua pihak,” katanya.
Menurut Farid, kedudukan beberapa Ketua Bahagian Bersatu lain di Kelantan juga perlu diperjelaskan bagi mengelakkan fakta mengenai status mereka diputarbelitkan.
Katanya, Ketua Bahagian Tanah Merah dan Jeli telah digantung, manakala Ketua Bahagian Kubang Kerian pula dilucutkan jawatan.
“Jadi, janganlah fakta-fakta ini diputarbelitkan sehingga seolah-olah mereka yang meninggalkan parti secara sukarela,” katanya.
Mengulas lebih lanjut kedudukan Bersatu di Kelantan, Farid mendakwa kesemua Ketua Bahagian yang baharu dilantik serta kepimpinan sedia ada, pada pandangannya, tidak mempunyai pengaruh politik yang kukuh di akar umbi.
Beliau turut mendakwa keadaan itu memberi kesan kepada kekuatan jentera dan semangat akar umbi parti di negeri berkenaan.
Dalam pada itu, Farid mencabar Datuk Kamarudin supaya menyatakan bila beliau dikatakan keluar daripada Bersatu serta mengemukakan bukti yang mengesahkan dakwaan tersebut.
“Saya mencabar YB Datuk Kamarudin untuk menyatakan bila saya keluar parti dan menunjukkan bukti yang mengesahkannya,” katanya.
Farid kini merupakan Pengerusi Negeri Kelantan Majlis Perhubungan Negeri Parti Wawasan Negara. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.