
KUALA LUMPUR | 25 Jan 26 — Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) didakwa masih bergantung sepenuhnya kepada peralihan undi daripada parti lain untuk memenangi pilihan raya, berbeza dengan PAS yang memiliki asas pengundi tegar yang kukuh.
Menurut aktivis politik BERSATU, Mohamad Shafiq Abdul Halim, sejak penubuhan parti itu pada 2016, BERSATU mengharapkan sokongan pengundi Barisan Nasional dan sebahagian pengundi Pakatan Harapan untuk menawan kerusi Parlimen.
Fenomena yang sama berulang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), di mana majoriti kemenangan Perikatan Nasional dikatakan berpunca daripada peralihan undi daripada BN dan PAS, serta sebahagian kecil PH.
“BERSATU masih belum mempunyai deposit pengundi tegar sendiri. Parti ini tidak boleh menang bersendirian tanpa sokongan PAS,” kata Syafiq dalam siaran video di media sosial, semalam.
Beliau menekankan bahawa PAS mempunyai data pengundi yang jelas dan semakin bertambah setiap tahun, terutamanya di Kelantan dan Terengganu. Kejayaan PAS di kawasan tersebut dianggap membuktikan kekuatan asas parti itu berbanding BERSATU yang lebih baru.
Menurut Syafiq, dalam menghadapi PRU16, BERSATU perlu menjaga hubungan rentas parti dan tidak terlalu sombong, kerana kemenangan tanpa kerjasama PAS atau parti lain dianggap mustahil. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.