Saifuddin: Serangan Ke Atas Iran Langgar Kedaulatan, Gesa Penyelesaian Tanpa Paksaan

KUALA LUMPUR | 26 Mac 26 – Di tengah ketegangan memuncak di Asia Barat, Mantan Menteri Luar Malaysia, Saifuddin Abdullah menyuarakan pendirian tegas bahawa serangan ke atas Iran merupakan pelanggaran kedaulatan, dan menuntut penyelesaian damai yang tidak dipaksakan.

Ahli Parlimen Indera Mahkota itu berkata, situasi semasa tidak boleh dianggap sebagai sekadar “konflik”, sebaliknya adalah satu “peperangan haram” yang dilancarkan oleh Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran sebagai sebuah negara berdaulat.

Menurut beliau, Iran mempunyai hak mempertahankan diri termasuk melancarkan serangan balas terhadap sebarang pencerobohan.

Dalam satu kenyataan semalam, Saifuddin turut mengalu-alukan inisiatif Menteri Luar Malaysia yang menghubungi rakan sejawatnya di Iran dan Oman bagi mencari jalan menghentikan peperangan tersebut.

Katanya, Malaysia mempunyai sejarah memainkan peranan berkesan sebagai orang tengah dalam pelbagai konflik dan krisis antarabangsa, justeru penglibatan aktif kerajaan dalam usaha diplomasi adalah wajar.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa usaha menamatkan perang itu mesti berasaskan keadilan serta jaminan ia tidak berulang, dan bukan sekadar mencapai gencatan senjata sementara.

“Penyelesaian mestilah dirunding dengan syarat yang dipersetujui secara sukarela oleh Iran, bukannya dipaksakan oleh AS dan Israel,” katanya.

Saifuddin turut mencadangkan agar Malaysia memperluas jaringan diplomasi dengan negara-negara lain yang sedang aktif dalam usaha meredakan konflik, termasuk Pakistan, Turkiye dan Qatar.

Beliau berkata, pendekatan tersebut penting bagi mengembalikan keadaan “hidup bersama secara damai” antara Iran dan negara jirannya serta mengelakkan ketegangan berpanjangan di rantau itu. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share