
RAUB | 8 Feb 26 — Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Raub secara terbuka menuntut Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan sebagai Presiden parti, selain mendesak pemecatan serta-merta Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan beberapa pemimpin tertinggi lain, susulan keputusan sebulat suara dua Mesyuarat Khas Bahagian yang mendakwa kepimpinan pusat gagal menjaga keharmonian, integriti dan imej parti.
Menurut kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, keputusan itu dicapai hasil Mesyuarat Khas Bahagian BERSATU Raub Bil. 02/2025 dan Bil. 01/2026 yang dihadiri 20 daripada 25 ahli jawatankuasa, dengan kesemua keputusan dibuat secara sebulat suara.
Bahagian itu turut menuntut Datuk Seri Faizal Azumu meletakkan jawatan, manakala Tun Ahmad Faisal dipecat serta-merta daripada jawatan Ketua Penerangan BERSATU.
Ketua Bahagian BERSATU Raub, Dato’ Haji Mohd Fakrunizam Ibrahim, berkata tuntutan terhadap Muhyiddin dibuat berikutan kegagalan Presiden parti itu memulihkan keharmonian dalaman Bersatu serta hubungan dengan parti-parti komponen, selain dakwaan penglibatan beliau dalam isu integriti yang mencemarkan imej parti.
“Akibat daripada peristiwa-peristiwa ini, kami hilang kepercayaan, hormat dan kesetiaan kepada Presiden,” katanya dalam kenyataan itu.
Menurut beliau, desakan pemecatan terhadap Azmin pula dibuat berasaskan isu moral yang didakwa telah mencetuskan keresahan dalam kalangan ahli, komponen parti serta masyarakat umum, sekali gus merosakkan imej BERSATU sebagai parti yang mendakwa berteraskan Melayu dan Islam.
Selain itu, tuntutan terhadap Faizal Azumu dikaitkan dengan dakwaan penglibatan ahli keluarga terdekat beliau dalam struktur disiplin parti serta kenyataan-kenyataan terbuka yang didakwa menyerang pemimpin bahagian yang menegur kepimpinan pusat.
Manakala pemecatan Tun Ahmad Faisal pula didakwa berpunca daripada ketidakharmonian yang semakin meruncing antara kepimpinan pusat dan ketua-ketua bahagian, termasuk kenyataan yang didakwa tidak berfakta serta memanipulasi keadaan sehingga mencetuskan perpecahan dalaman parti.
Dalam kenyataan sama, Bahagian BERSATU Raub menegaskan bahawa tindakan menegur kepimpinan dibuat kerana sayangkan parti dan demi mempertahankan akidah, akhlak serta iman, sambil mendakwa pemimpin yang menegur sering dikenakan tindakan, termasuk disingkirkan daripada saluran komunikasi rasmi parti.
“Kami memilih mudarat kecil daripada mudarat besar,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan keras itu menandakan krisis dalaman BERSATU kini berada pada tahap paling serius, apabila tuntutan peletakan jawatan dan pemecatan dibuat secara terbuka oleh kepimpinan peringkat bahagian terhadap kepimpinan tertinggi parti. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.