BERSATU Terengganu Pernah Sebulat Suara Mahu Ketua Penerangan Diganti – Razali

KUALA LUMPUR | 1 Sep 26 – Bekas Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Razali Idris mendedahkan Badan Pimpinan Bersatu Terengganu pernah sebulat suara mencadangkan supaya Ketua Penerangan parti itu diganti.

Menurut beliau, cadangan tersebut dibuat dalam satu mesyuarat Badan Pimpinan Bersatu Terengganu ketika beliau masih memimpin badan berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, wakil Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu yang hadir dalam mesyuarat itu tidak membawa cadangan berkenaan ke mesyuarat MPT kerana tidak sampai hati berbuat demikian.

Razali berkata, beliau memilih untuk mendedahkan perkara itu secara terbuka kerana terlalu lama berdiam diri juga boleh menjadi satu kesilapan.

Pendedahan tersebut dibuat ketika Razali mengkritik pendekatan komunikasi pimpinan Bersatu yang menurutnya tidak seharusnya terlalu bergantung kepada kenyataan keras atau serangan terbuka di media sosial.

Beliau berkata, jawatan Ketua Penerangan bukan lesen untuk bercakap sebanyak mungkin atau menggasak semua pihak menerusi media sosial.

Sebaliknya, katanya, Ketua Penerangan perlu menerangkan dasar, mempertahankan parti, menyatukan pimpinan serta membaca denyut nadi rakyat.

Razali turut mengingatkan bahawa tidak semua perkara perlu dijawab, tidak semua kritikan perlu dilawan dan tidak semua perbezaan pandangan perlu dijadikan perang terbuka di media sosial.

Beliau berkata, pendekatan sedemikian lebih membimbangkan apabila kenyataan yang dibuat tidak mengambil kira sentimen pimpinan dan akar umbi Bersatu, khususnya di Pantai Timur.

Dalam pada itu, Razali berkata keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan sepatutnya menjadi wake-up call atau tanda amaran serius kepada Bersatu.

Menurutnya, jika parti itu masih gagal mengambil iktibar daripada keputusan pilihan raya berkenaan, persoalan yang timbul bukan lagi semata-mata mengenai keputusan pilihan raya tetapi keengganan parti melihat kelemahan sendiri.

“Bersatu tidak akan bangkit dengan Ketua Penerangan yang paling lantang.

“Bersatu akan bangkit dengan Ketua Penerangan yang paling bijaksana membaca keadaan, paling tenang mengurus perbezaan dan paling tajam menyusun strategi,” katanya seperti dipetik Utusan Malaysia.

Razali menegaskan Bersatu memerlukan jurucakap parti dan bukannya “jurucakap kemarahan”.

Katanya, usaha memenangi hujah di media sosial tidak seharusnya menyebabkan parti kehilangan kepercayaan di peringkat akar umbi.

“Parti bukan pentas untuk ego individu. Parti adalah amanah untuk diperjuangkan,” katanya.

Razali baru-baru ini meletakkan jawatan sebagai Ketua Badan Pimpinan Bersatu Terengganu, namun kekal sebagai ahli Bersatu. @sumber

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share