
KUALA LUMPUR, 4 Jun 25 – Penganalisis politik menggesa wakil rakyat membezakan politik kepartian dengan urusan kerajaan kerana berisiko menjejaskan urusan pentadbiran negara.
Pensyarah sains politik di Pendidikan Jarak Jauh Universiti Sains Malaysia (USM)Prof Dr Ahmad Fauzi Abdul Hamid berkata, negara seharusnya tidak perlu berhadapan dengan perletakan jawatan dua menteri kabinet baru-baru ini disebabkan mereka tewas dalam pemilihan parti masing-masing.
“Di Malaysia, kita sebenarnya dah kena bezakan untuk kelancaran jentera kerajaan, politik kepartian dan urus tadbir dipihak eksekutif kalau tidak ia akan jadi kacau,” katanya, kepada politiko.my.
Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad masing-masing meletak jawatan sebagai Menteri Ekonomi dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) minggu lepas susulan tewas dalam pemilihan PKR.
Rafizi gagal mempertahankan jawatan timbalan presiden dan tewas kepada anak Perdana Menteri Nurul Izzah Anwar manakala Nik Nazmi pula gagal mempertahankan jawatan naib presiden parti itu.
“Tidak timbul soal Rafizi perlu letak jawatan kerana tidak dapat mandat parti, mandat rakyat yang mengundi dia masih ada, yang undi dia di Pandan bukan ahli parti PKR, rakyat tak memihak kepada parti pun, dan dia sah. Alasan itu tidak cukup kuat untuk beliau meletak jawatan.
“Nik Nazmi juga memberi alasan sama kerana tak dapat pertahankan jawatan naib presiden, kemudian mungkin kerana dia memihak kepada Rafizi dalam pertandingan antara kem,” katanya, dan menegaskan tindakan itu bukan satu keperluan.
Jelasnya, tindakan diambil dua bekas menteri itu merugikan negara.
“Satu kehilangan kepada negara kerana sikap yang utamakan politik kepartian, siapa rugi, negara rugi sedangkan negara dah angkat dia sebagai ahli Parlimen.
“Mereka bukan dipecat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, mereka sendiri yang undur diri. Pandangan yang kata mereka hilang mandat saya tidak setuju, kalau dipecat lain,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Fauzi berkata, tindakan Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz melompat parti daripada Umno ke PKR juga mencetuskan isu etika dalam kalangan wakil rakyat.
“Nak kata baik atau tidak sangat bergantung kepada percaturan perdana menteri, apa maksud dan tujuan beliau kita tak pasti.
“Apa strateginya, kita boleh agak sahaja tapi apa kehendaknya hanya perdana menteri tahu. Mungkin ada sebab kita tak tahu,” tambahnya. @politiko.my