Hadi: Kemenangan PN-BN Isyarat Rakyat Terima Agenda Penyatuan Ummah

KUALA LUMPUR | 1 Ogos 26 – Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menyifatkan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan sebagai isyarat jelas bahawa rakyat menerima usaha penyatuan ummah yang diasaskan atas prinsip keadilan, kesejahteraan dan keharmonian masyarakat majmuk.

Beliau berkata, kemenangan Perikatan Nasional (PN) bersama Barisan Nasional (BN) diyakini mampu menjadi pencetus kepada gelombang perubahan yang lebih besar dalam usaha memulihkan negara.

“Keputusan ini merupakan suatu isyarat jelas bahawa rakyat menerima usaha penyatuan ummah yang berteraskan keadilan, kesejahteraan dan keharmonian masyarakat majmuk.

“Insya-Allah, kejayaan ini akan menjadi pencetus kepada gelombang perubahan yang lebih besar dalam usaha memulihkan negara, di samping membina sebuah pentadbiran yang bersih, prihatin dan stabil,” katanya dalam satu kenyataan, sebentar tadi.

Hadi turut merakamkan penghargaan kepada seluruh pengundi Negeri Sembilan atas kepercayaan yang diberikan kepada PN pada pilihan raya tersebut.

Menurut beliau, PAS menyedari tanggungjawab besar yang digalas hasil mandat rakyat dan akan memberi keutamaan kepada agenda pentadbiran yang berteraskan kebajikan, integriti serta keadilan untuk semua.

“PAS menginsafi besarnya tanggungjawab dan kepercayaan ini. Keutamaan adalah untuk mengisi kemenangan melalui agenda berkebajikan, berintegriti dan adil kepada semua,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kepimpinan PN dan BN, calon-calon, petugas serta seluruh jentera parti yang disifatkannya telah bekerja dalam satu saf sehingga membolehkan kedua-dua gabungan mencapai kemenangan.

Hadi turut mendoakan agar Allah SWT mengurniakan petunjuk dan kekuatan kepada semua pihak bagi melaksanakan amanah yang diberikan rakyat dengan sebaik-baiknya. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share