
KUALA LUMPUR, 22 Ogos 25 — Penyelaras Kebangsaan pembela Tanah Air (PETA), Badrul Hisham Shaharin menyeru sambutan Kemerdekaan pada 31 Ogos diboikot sebagai tanda perjuangan menuntut keadilan buat Zara Qairina Mahathir.
Badrul Hisham yang lebih dikenali sebagai Chegubard berkata, tindakan itu adalah bagi mengangkat roh merdeka dalam jiwa negara ini.
“Rakyat diajak tidak sertai program ulang tahun kemerdekaan. Program anjuran siapa juga malam ambang merdeka serta perbarisan pagi 31 Ogos, jangan hadir.
“Ia bukan menghina ulangtahun kemerdekaan negara tetapi ia sebenarnya mengangkat roh merdeka dalam jiwa negara ini. Apa guna merdeka jika pelaksanaan undang undang terus dua darjat?,” katanya.
Tindakan itu katanya adalah langkah politik aman dan pernah dilakukan di Tanah Melayu dengan dikenali sebagai Hartal pada 20 Oktober 1947.
“Walaupun jutaan rakyat bangkit namun regim terus cuba bersungguh melindungi ‘sesuatu’. Menteri dikatakan sanggup menipu dalam Parlimen untuk melindungi ‘sesuatu’.
“Kes Zara Qairina bukan setakat buli tetapi bagaimana kes kematiannya yang diuruskan menyebabkan rakyat yakin ada elit dan bangsawan dilindungi,” dakwanya. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.