
KUALA LUMPUR, 30 Apr 25 – Kerajaan menerusi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memutuskan untuk menamatkan sepenuhnya pemberian subsidi bagi telur ayam bermula 1 Ogos ini.
KPKM dalam kenyataan hari ini memaklumkan, kawalan harga telur ayam juga akan ditamatkan, manakala kadar subsidi akan dikurangkan daripada RM0.10 kepada RM0.05 sebiji berkuat kuasa esok, sebelum subsidi dihentikan sepenuhnya.
“Keputusan ini dibuat setelah mengambil kira komitmen pihak industri untuk memastikan pengeluaran telur ayam kekal mencukupi dan terjamin, berikutan kos pengeluaran yang telah stabil.
“Keadaan ini terbukti sepanjang musim perayaan Aidilfitri lalu, apabila bekalan telur berada pada tahap mencukupi dengan harga yang kompetitif,” katanya, memetik laporan Bernama.
Dalam laporan tersebut, KPKM turut menyatakan bahawa langkah penyasaran semula subsidi ini adalah lebih adil memandangkan ketika ini, subsidi turut dinikmati oleh warga asing dan golongan berpendapatan tinggi.
Menurut kementerian itu, beberapa langkah intervensi akan dilaksanakan pihaknya bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi meminimumkan impak terhadap kos sara hidup rakyat susulan keputusan berkenaan.
Antara langkah tersebut, kerajaan memberi jaminan bahawa pihak industri bersetuju untuk memperkenalkan telur gred khas pada harga yang munasabah.
Rakyat juga boleh mendapatkan bekalan telur pada harga yang lebih kompetitif menerusi inisiatif Jualan Agro MADANI dan Jualan Rahmah di seluruh negara, termasuk di semua cawangan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP). @sumber