Chegubard Dakwa BERSATU Tanding Untuk Pecah Undi

SEREMBAN | 25 Julai 26 – Pengarah Pilihan Raya Parti Wawasan Negara Negeri Sembilan, Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard mendakwa penyertaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan bukan bertujuan membentuk kerajaan, sebaliknya hanya untuk memecahkan undi yang akhirnya memberi kelebihan kepada Pakatan Harapan (PH).

Menurut beliau, dakwaan itu dibuat berdasarkan maklumat yang diterima daripada beberapa bekas pemimpin dan ahli BERSATU yang mengambil keputusan meninggalkan parti tersebut sebelum hari penamaan calon.

Chegubard berkata, antara mereka ialah bekas Ketua Armada Bersatu Seremban, Alif Asyraf Azman, bekas Naib Ketua Bahagian BERSATU Tampin, Aziz Kamarudin serta bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gemas, Ridzuan Ahmad yang kini bertanding atas tiket Parti Wawasan Negara.

Beliau mendakwa individu terbabit meninggalkan BERSATU selepas mendakwa menyedari strategi parti itu bukan untuk memenangi pilihan raya.

“Dakwaan mereka jelas bahawa strategi Bersatu bukan untuk menang pilihan raya tetapi hanya untuk memecahkan undi sehingga memberi laluan kepada kemenangan PH,” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Utama Parti Wawasan Negara di Taman Bukit Kepayang, hari ini.

Menurut Chegubard, Alif sebelum ini dimaklumkan bakal dicalonkan di DUN Lenggeng, namun menarik diri selepas mendakwa mengetahui strategi sebenar parti tersebut. Beliau turut mendakwa situasi sama berlaku di DUN Klawang dan Gemas apabila individu yang dikaitkan sebagai bakal calon BERSATU memilih menyertai Parti Wawasan Negara sebelum penamaan calon.

Dalam perkembangan sama, beliau mendakwa enam daripada tujuh cawangan BERSATU di Tampin telah dibubarkan selepas ahlinya hilang keyakinan terhadap hala tuju parti, dengan lebih 1,000 ahli dikatakan keluar daripada BERSATU. Dakwaan sama turut melibatkan beberapa kawasan lain termasuk Jelebu dan Seremban.

Sehubungan itu, Chegubard menggesa pengundi supaya tidak menyokong calon BERSATU kerana, menurut dakwaannya, undi kepada parti itu hanya akan memberi kelebihan kepada PH.

Beliau turut menjelaskan kerjasama Parti Wawasan Negara bersama Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) bertujuan menjadi jambatan bagi menyatukan kedua-dua gabungan untuk membentuk kerajaan negeri yang stabil selepas PRN. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share