Kritik Pelantikan DAP Dalam Kabinet Bukan Perkauman – Zaid Ibrahim

KUALA LUMPUR, 19 DIS 25  – Bekas Menteri Kabinet, Datuk Zaid Ibrahim menolak dakwaan bahawa kritikan terhadap pelantikan menteri daripada DAP bersifat perkauman, sebaliknya menegaskan ia berpunca daripada kebimbangan terhadap kuasa ekonomi dan pentadbiran di bandar-bandar utama.

Menurut beliau, bantahan yang disuarakan bukan bersifat hasutan atau ketakutan melampau, tetapi berkait dengan jumlah pelantikan pemimpin DAP yang menurutnya kini menguasai pusat-pusat bandar dan memegang peranan strategik dalam nadi ekonomi negara.

Zaid turut mendakwa wujud ekonomi bayangan atau bawah tanah bernilai kira-kira RM100 bilion yang dikaitkan dengan pihak tertentu yang menyokong DAP, sekali gus menimbulkan persoalan berkaitan ketelusan dan keadilan dalam pengagihan peluang ekonomi.

Beliau berkata, masyarakat Melayu dan India khususnya hanya menuntut ruang bernafas serta keseimbangan dalam penjanaan dan pengagihan kekayaan negara, bukannya menolak kepelbagaian atau kerjasama antara kaum.

“Persoalan utama ialah apakah langkah yang telah diambil oleh kepimpinan DAP untuk meredakan kebimbangan bahawa parti itu tidak berlaku adil kepada komuniti lain, termasuk dalam menangani kartel perniagaan dan memastikan persaingan yang saksama,” katanya dalam satu kenyataan menerusi laman sosial, facebook miliknya.

Zaid turut mendakwa kedudukan politik DAP ketika ini diperkukuh oleh sokongan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta kerjasama dengan Umno dalam kerajaan perpaduan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan  penentangan terhadap DAP dan sekutunya akan terus berlaku melalui saluran sah dan demokratik, sambil menolak label perkauman terhadap pengkritik parti itu.

“Kami bukan rasis. Kami adalah patriot Malaysia yang mempertahankan keseimbangan, keadilan dan masa depan negara,” katanya. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share