Chegubard Sokong Jawatankuasa Bebas Selesaikan Isu Adat, Dakwa Jalaluddin Ada Sokongan 22 ADUN Untuk Jadi MB

KUALA LUMPUR | 11 Sep 26 – Kemelut berkaitan kedudukan Menteri Besar Negeri Sembilan dan isu penurunan Tunku Mukhriz Tuanku Munawir perlu diselesaikan melalui satu jawatankuasa bebas yang terdiri daripada pihak berwibawa dan berkecuali.

Penyelaras (Penaja) Wawasan Negara Negeri Sembilan, Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard, berkata beliau menyokong cadangan penubuhan jawatankuasa bebas bagi meneliti isu berkenaan secara menyeluruh.

Menurutnya, isu yang berlaku bukan semata-mata melibatkan individu tertentu, sebaliknya menyentuh persoalan adat pemerintahan Negeri Sembilan.

“Ini bukan persoalan individu tetapi soal adat pemerintahan pusaka bangsa,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.

Dalam hantaran sama, Che GuBard mendakwa terdapat perkembangan politik sebelum pelantikan Menteri Besar baharu pada 2 Ogos lalu.

Beliau mendakwa selepas keputusan pilihan raya negeri, 22 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada BN dan PN yang memenangi kerusi telah menandatangani akuan bersumpah (SD) menyokong Datuk Seri Jalaluddin Alias sebagai Menteri Besar.

Che GuBard turut mendakwa Ismail Lasim, yang akhirnya dilantik sebagai Menteri Besar, adalah antara ADUN yang menandatangani SD tersebut.

Beliau mendakwa selepas 22 SD itu dikumpulkan, berlaku pertemuan antara Presiden UMNO dan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tunku Mukhriz, pada malam yang sama.

Che GuBard turut mempersoalkan sama ada BN ketika itu mencadangkan pembentukan kerajaan bersama Pakatan Harapan (PH), sebelum mendakwa perkara itu tidak dapat dilakukan kerana BN dan PN telah mencapai persetujuan untuk membentuk kerajaan bersama.

Beliau bagaimanapun berkata hanya mereka yang terlibat secara langsung dalam rundingan berkenaan boleh menjelaskan perkara itu.

Che GuBard seterusnya mendakwa tiga nama dikemukakan sebagai calon Menteri Besar, termasuk Jalaluddin, sebelum Istana memilih Ismail Lasim untuk jawatan berkenaan.

Menurutnya, Ismail kemudian mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar pada 2 Ogos.

Che GuBard turut mendakwa pada 3 Ogos, Ismail bertemu Undang Berempat dan Tunku Besar Tampin di Istana Laguna Biru, Port Dickson, bagi mendapatkan perkenan, dengan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan turut hadir.

Beliau mendakwa dalam pertemuan itu, Ismail menandatangani dokumen berkaitan proses penurunan Tunku Mukhriz.

Che GuBard menolak dakwaan bahawa tandatangan berkenaan dibuat di bawah tekanan dan berpandangan proses tersebut perlu dilihat berdasarkan kerangka adat pemerintahan Negeri Sembilan.

Beliau turut menegaskan bahawa Menteri Besar bukan pihak yang menurunkan Tunku Mukhriz, sebaliknya proses tersebut, menurut dakwaannya, melibatkan Undang Berempat dan Tunku Besar Tampin, manakala Menteri Besar hanya melengkapkan proses mengikut adat.

Che GuBard berkata isu berkenaan juga tidak wajar dilihat semata-mata daripada sudut istilah “derhaka”, kerana struktur pemerintahan Negeri Sembilan mempunyai keunikan tersendiri berasaskan Adat Perpatih.

Atas sebab itu, beliau berpandangan satu jawatankuasa yang benar-benar bebas dan terdiri daripada pihak yang mempunyai kredibiliti perlu diwujudkan bagi mendapatkan penjelasan menyeluruh mengenai kemelut tersebut. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share