Hamzah Zainudin Junjung Titah Tegas Sultan Selangor

KUALA LUMPUR | 13 Jan 26 — Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Hamzah Zainudin, merafak sembah menjunjung kasih atas keprihatinan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, yang menitahkan pendirian tegas Baginda berhubung isu LGBT dan kontroversi penternakan babi di Selangor.

Menurut Hamzah, titah Sultan mencerminkan kebijaksanaan seorang Raja Berperlembagaan yang berpandukan tuntutan agama, kepentingan rakyat, dan keharmonian sosial. Beliau menegaskan titah tersebut perlu dikuatkuasakan melalui tadbir urus kerajaan serta penguatkuasaan undang-undang.

“Titah ini wajar menjadi pedoman kepada semua pihak, khususnya kerajaan dan agensi berkaitan, agar setiap dasar dan tindakan bukan sahaja selari dengan prinsip toleransi, tetapi juga berjalan seiring dengan ketegasan mempertahankan kesucian agama, kepentingan rakyat, dan kedaulatan undang-undang,” kata Hamzah.

Beliau menegaskan, sebarang usaha menormalisasikan aktiviti songsang yang bercanggah dengan agama, jati diri, dan nilai kemanusiaan perlu ditangani dengan tegas. Dalam pada itu, isu penternakan babi pula harus dijalankan dengan pematuhan ketat terhadap peraturan alam sekitar, kesihatan awam, zon guna tanah, serta sensitiviti masyarakat setempat.

Baru-baru ini, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah tidak berkenan dengan pembaharuan lesen sementara bagi ladang penternakan babi di daerah Kuala Langat. Sementara itu, Baginda juga dalam satu kenyataan menzahirkan bantahan keras terhadap sebarang penganjuran aktiviti songsang lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di negeri itu. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share