PAS Desak Batalkan Jemputan Trump, HINDRAF Sokong Desakan

KUALA LUMPUR, 28 Sep 25 – PAS mendesak kerajaan Malaysia membatalkan jemputan kepada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur bulan depan, dengan menegaskan langkah itu penting sebagai solidariti bersama rakyat Palestin.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Malaysia tidak seharusnya memberi penghormatan kepada seorang pemimpin yang didakwa menjadi sekutu utama Israel dalam melakukan genosid ke atas rakyat Gaza.

“Malaysia tidak sepatutnya berbangga duduk sepentas bersama pemimpin yang zalim, tidak berperikemanusiaan, dan penyokong utama keganasan global. Trump tidak layak berada di negara mahupun rantau ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut membidas sikap Amerika Syarikat yang berulang kali menggunakan kuasa veto di Majlis Keselamatan PBB untuk menghalang gencatan senjata dan bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Katanya, tindakan Perdana Menteri menjemput Trump hanya mencemarkan imej Malaysia yang sebelum ini lantang memperjuangkan Palestin.

Nada yang sama turut dizahirkan oleh HINDRAF menerusi kenyataan presidennya, Waytha Moorthy Ponnusamy, yang menyifatkan jemputan kepada Trump sebagai tindakan “hipokrit” dan melemahkan kredibiliti Malaysia di mata dunia.

“Menjemput Donald Trump, seorang pemimpin dengan rekod menyokong penindasan Israel, menjadikan kenyataan solidariti Malaysia terhadap Palestin sekadar retorik kosong. Semua Ahli Parlimen perlu bersatu menuntut jemputan ini dibatalkan,” katanya.

PAS dan HINDRAF menegaskan bahawa Malaysia mesti menunjukkan pendirian tegas menolak genosid Israel dan tidak tunduk kepada tekanan kuasa besar.

Kedua-dua pihak menuntut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menarik balik jemputan itu sebagai mesej jelas bahawa Malaysia berdiri teguh bersama perjuangan Palestin. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share