Sabah Patut Kaji Tubuh Airline Sendiri, Ikut Langkah Sarawak, Kata Wawasan Negara Sabah

KOTA KINABALU | 21 Ogos 26 – Parti Wawasan Negara Bahagian Sepanggar menggesa kerajaan Sabah mengkaji penubuhan syarikat penerbangan strategik milik negeri sebagai salah satu langkah menangani isu tambang penerbangan yang tinggi antara Sabah dan Kuala Lumpur.

Wakil Wawasan Negara Bahagian Sepanggar, Norsahar Ahmad, berkata Sabah tidak seharusnya terus bergantung kepada mekanisme pasaran dan hanya meminta syarikat penerbangan menurunkan tambang apabila harga meningkat.

Menurutnya, langkah Sarawak melalui AirBorneo wajar dijadikan rujukan, termasuk selepas syarikat penerbangan milik negeri itu menawarkan penerbangan Kuching–Kuala Lumpur pada tambang bermula RM375 sehala. AirBorneo kini turut mengendalikan perkhidmatan udara di Sabah dan Sarawak.

Norsahar berkata Sabah boleh mengkaji model sendiri, sama ada melalui syarikat penerbangan milik kerajaan negeri, kerjasama dengan syarikat swasta, pengambilalihan atau perkongsian strategik.

“Matlamatnya bukan untuk bersaing dengan AirAsia atau Malaysia Airlines. Matlamatnya ialah mewujudkan satu pemain penerbangan strategik Sabah yang boleh menjadi penstabil harga apabila tambang pasaran meningkat terlalu tinggi,” katanya.

Beliau berkata isu penerbangan perlu dilihat sebagai sebahagian daripada keterhubungan dan kos sara hidup rakyat Sabah, terutama bagi pelajar, pesakit, keluarga dan mereka yang perlu berulang-alik ke Semenanjung.

Norsahar turut mempersoalkan peruntukan RM70.5 juta bagi pengangkutan dan perkhidmatan penerbangan berkaitan Yang di-Pertua Negeri dan Ketua Menteri Sabah, seperti yang dibahaskan dalam Dewan Undangan Negeri Sabah.

“Jika puluhan juta ringgit boleh diperuntukkan untuk keperluan penerbangan rasmi, mengapa tidak diwujudkan juga satu dana khas penerbangan rakyat Sabah?” katanya.

Beliau bagaimanapun menegaskan cadangan itu bukan bermaksud keseluruhan RM70.5 juta berkenaan perlu dialihkan kepada subsidi tiket, sebaliknya kerajaan negeri boleh mengkaji mekanisme bantuan bersasar untuk golongan yang benar-benar memerlukan.

Norsahar turut mencadangkan supaya Sabah mengkaji skim subsidi penerbangan khusus, selain memperkukuh rundingan dengan kerajaan Persekutuan berhubung hak 40 peratus Sabah.

Katanya, isu tambang penerbangan tidak seharusnya berakhir dengan kenyataan bahawa kerajaan akan memantau atau berbincang dengan syarikat penerbangan.

“Rakyat tidak boleh membayar tiket menggunakan kenyataan media. Pelajar tidak boleh membeli tiket menggunakan janji politik. Pesakit tidak boleh pergi mendapatkan rawatan dengan ‘kami sedang berbincang’.”

Beliau berkata sudah tiba masanya Sabah mempunyai dasar penerbangan yang lebih tersusun supaya rakyat tidak terus menanggung “kos geografi” akibat kedudukan negeri itu yang jauh dari Semenanjung. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share