DAP Hentam UPKO, Ewon Letak Jawatan Main Wayang Ketika PRN

KUALA LUMPUR, 17 NOV 25 – DAP menempelak tindakan Presiden Upko, Datuk Ewon Benedick, yang meletakkan jawatan sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi atas isu tuntutan 40% hasil Sabah, dengan menyifatkannya sekadar wayang politik menjelang PRN Sabah, bukannya keberanian memperjuangkan hak negeri itu.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, berkata tindakan Ewon cuba menampil sebagai “wira Sabah” tidak berasas kerana beliau sendiri gagal menghadiri Mesyuarat Khas Kabinet pada 11 November, yang diadakan khusus membincangkan isu tersebut.

“Jika beliau benar-benar berani dan yakin, mengapa tidak hadir dan berdepan dengan Peguam Negara? Mengapa tidak nyatakan hujahnya secara rasmi? Hakikatnya, beliau mengelak,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Loke, Kabinet telah membuat keputusan penting tanpa kehadiran Ewon – iaitu tidak merayu keputusan Mahkamah Tinggi mengenai hak 40% hasil Sabah, namun perlu merayu beberapa dapatan dalam alasan penghakiman yang menyentuh isu penyalahgunaan kuasa pentadbiran terdahulu.

Katanya, rayuan tersebut bersifat teknikal, supaya kerajaan hari ini tidak dianggap mengakui salah laku lampau yang boleh membawa implikasi undang-undang serius.

Loke turut menegaskan bahawa Ewon masih anggota Kabinet secara teknikal, kerana surat peletakan jawatannya hanya berkuat kuasa selepas Disember dan beliau kini sedang bercuti.

“Cabar Perdana Menteri, cabar Peguam Negara, kemudian barulah letak jawatan. Ketika itu saya akan kata anda wira. Tetapi buat masa ini, anda hanya bermain wayang,” katanya. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share