
KUALA LUMPUR, 1 Nov 2025 — Isu penggunaan bahasa Inggeris dalam nama program promosi “I Lite U” anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mencetuskan persoalan mengenai sejauh mana agensi kerajaan mematuhi pekeliling Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang mewajibkan penggunaan bahasa Melayu dalam semua urusan rasmi kerajaan.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr. Maimunah Mohd Sharif, baru-baru ini dilaporkan berkata bahawa penggunaan nama berbahasa Inggeris itu hanya sekadar strategi promosi dan tidak bermaksud mengetepikan Bahasa Melayu.
“Kita tidak mengetepikan Bahasa Melayu, cuma mahu menarik perhatian pelancong antarabangsa dengan pendekatan yang lebih kreatif,” katanya.
“Nama I Lite U membawa maksud Innovative, Lighting, Infrastructure, Towards, Eco-Elegance and Urbanisation,” jelasnya lagi.
Bagaimanapun, kenyataan itu dilihat bertentangan dengan arahan rasmi kerajaan melalui JPA yang menegaskan bahawa semua urusan dan program rasmi kerajaan, termasuk nama, tema dan kandungan, hendaklah menggunakan Bahasa Melayu sepenuhnya.
Dalam Ceraian PO.1.1.1: Pemerkasaan Penggunaan Bahasa Melayu Dalam Perkhidmatan Awam, JPA menetapkan:
“Bahasa Melayu hendaklah diberi keutamaan dan digunakan sepenuhnya dalam semua aspek termasuk nama, tema, tajuk, latar belakang, isi kandungan serta apa-apa maklumat berkaitan urusan rasmi perkhidmatan awam.”
Isu tersebut turut mendapat perhatian selepas insiden melibatkan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, yang dilaporkan menegur seorang wartawan berhubung pertanyaan tentang nama program itu — sekali gus membuka perdebatan lebih luas tentang konsistensi dasar, kepekaan bahasa dan kebebasan media dalam komunikasi kerajaan. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.