
KUALA LUMPUR | 29 Jun 26 – Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan bahawa umat Islam wajib keluar mengundi kerana memilih pemimpin merupakan sebahagian daripada tuntutan agama dan tanggungjawab politik dalam Islam.
Menerusi tulisan dalam Minda Presiden PAS bertajuk “Wajib Keluar Mengundi”, Abdul Hadi berkata kuasa memerintah merupakan salah satu daripada tiga tujuan utama Allah SWT menciptakan manusia, selain beribadah dan memikul amanah menegakkan keadilan.
Menurut beliau, politik tidak boleh dipisahkan daripada agama kerana urusan pemerintahan adalah sebahagian daripada tuntutan Islam.
“Menunaikan kewajipan politik Islam berkuasa memerintah hukumnya adalah wajib kerana kuasa memerintah mentadbir negara adalah salah satu daripada tiga tujuan Allah mencipta manusia,” katanya.
Beliau berkata tanggapan bahawa politik adalah sesuatu yang kotor berpunca daripada kejahilan terhadap ajaran Islam, selain pengaruh fahaman sekular yang memisahkan agama daripada pentadbiran negara.
Menurut Abdul Hadi, amalan demokrasi hari ini menjadikan proses mengundi sebagai mekanisme untuk memilih pemimpin, justeru keluar mengundi menjadi kewajipan bagi umat Islam.
Beliau turut mengingatkan bahawa sikap tidak mengambil peduli terhadap politik boleh menyebabkan umat Islam kehilangan kuasa pemerintahan, sekali gus membuka ruang kepada pihak lain menentukan hala tuju negara.
Dalam masa sama, beliau berkata memilih pemimpin bukan sekadar hak demokrasi, malah akan dipersoalkan di akhirat kerana ia berkait rapat dengan amanah dan kepimpinan.
Kenyataan itu dibuat merujuk kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang dijadualkan berlangsung pada 11 Julai. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.